
SANDAKAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Jaffari Waliam merasmikan Surau Nur Iman Kampung Sungai Monyet, sekali gus menyempurnakan penyerahan Bantuan Khas Bakul Makanan kepada 54 penerima daripada kalangan penduduk setempat, semalam.
Majlis itu berlangsung penuh meriah dengan kehadiran Pengerusi Masjid Nur Iman merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sungai Monyet, Haji Elias Salleh; Penolong Pengarah Kebajikan Bahagian Sandakan, Tuan Ansharey Matarsad; wakil Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Sandakan, Puan Kartika; serta rombongan Pusat Khidmat ADUN Dilantik.
Dalam program berkenaan, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan PERKESO Sandakan turut membuka kaunter semakan bagi menyenaraikan penerima bantuan kebajikan, semakan caruman PERKESO serta pendaftaran program My Suri.
Menurut Jaffari, langkah ini memberi manfaat besar kepada penduduk kampung kerana mereka dapat berurusan terus dengan agensi berkaitan tanpa perlu ke bandar.
“Pendekatan turun padang seperti ini bukan sahaja menjimatkan masa dan kos masyarakat luar bandar, tetapi juga memastikan mereka mendapat akses kepada hak dan kemudahan yang disediakan kerajaan,” katanya.
Jaffari berkata, pemberian bakul makanan kepada keluarga yang memerlukan adalah sebahagian daripada usaha pihaknya memastikan kebajikan rakyat terus terjaga, terutama ketika berdepan cabaran kos sara hidup.
“Alhamdulillah, sebanyak 54 keluarga menerima manfaat bantuan kali ini. Walaupun nilainya mungkin tidak besar, tetapi ia dapat meringankan sedikit beban perbelanjaan dapur mereka.
“Kerajaan sentiasa komited menyalurkan pelbagai bentuk bantuan melalui saluran yang betul agar tidak ada golongan yang tercicir daripada perhatian,” katanya.
Dalam masa sama, Jaffari menegaskan peranan masjid bukan sahaja sebagai tempat ibadah, tetapi juga pusat komuniti yang boleh menggerakkan pelbagai kegiatan sosial, pendidikan dan kebajikan masyarakat.
“Perasmian Masjid Nur Iman ini melengkapkan lagi prasarana di Kampung Sungai Monyet. Saya berharap ia menjadi pusat penyatuan ummah, medan menyemarakkan nilai gotong-royong dan mendidik generasi muda dengan akhlak Islam yang mulia,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, khususnya JKKK, pengurusan masjid serta agensi kerajaan yang sentiasa berganding bahu dalam menjayakan program kebajikan untuk masyarakat setempat.
Jaffari berkata, kerjasama erat antara kerajaan, institusi masjid dan masyarakat kampung menjadi asas penting dalam memperkukuh semangat kebersamaan.
“Apabila semua pihak bersatu hati, kita bukan sahaja dapat menyelesaikan masalah kebajikan rakyat, malah dapat meningkatkan pembangunan sosioekonomi serta memperkukuh perpaduan masyarakat,” katanya.