
KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan pihak Jabatan Peguam Negara telah menerima laporan lengkap berhubung kes kematian pelajar, Zara Qairana Mahathir yang menjadi kontroversi sebelum ini.
Jelasnya, beliau telah memanggil Peguam Negara berhubung perkembangan kes itu dan menjelaskan laporan terbabit sudah diterima.
“Bukan saya mahu masuk campur, akan tetapi saya cuma bertanya supaya rakyat mahu tahu perkembangan sebenar,” katanya.
Menurut Anwar, pihaknya turut meminta supaya kes itu bukan menjadi medan kepada tuduhan dan kritikan sewenang-wenangnya terutama melibatkan Menteri Pendidikan, atau individu-individu yang lain.
“Isu kematian bukanlah isu main-main, Menteri Pendidikan pun diserang.
“Kematian ini bukan soal ringan dan jika ada, itu tanggungjawab bersama mencari kebenaran, bukannya terus menduduh sesiapa,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya di Majlis Perasmian Penutupan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2025 di Sabah International Convention Centre (SICC) pada Ahad.
Dalam ucapannya juga, Perdana Menteri turut menyentuh beliau sudah berhubung dengan Ketua Polis Negara dan Menteri Dalam Negeri berhubung insiden kematian Zara dengan mengesahkan 60 individu dipanggil bagi siasatan kes.
Jelasnya, beliau juga berkata, sekiranya kes itu mendapati mana-mana individu terlibat sama ada golongan VIP atau berpangkat menteri, tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang di negara ini.
Untuk rekod Allahyarhamah Zara Qairina dipercayai terjatuh dari tingkat tiga dan dijumpai tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar, Sabah jam 4 pagi, pada 16 Julai lalu.
Pelajar berkenaan disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu pada keesokan harinya dan kes itu menjadi kontroversi susulan dakwaan melibatkan kes buli dan pembabitan anak orang-orang kenamaan.
Deasoka