
KOTA KINABALU: Istana Seri Kinabalu hari ini menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang tular di media sosial kononnya individu yang terlibat dalam kes yang menyebabkan kematian seorang pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Tun Datu Mustapha minggu lalu, adalah keluarga Tuan Yang Terutama Yang di- Pertua Negeri Sabah.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Seri Kinabalu hari ini menegaskan bahawa dakwaan tersebut adalah tidak berasas, tidak bertanggungjawab serta bersifat fitnah yang boleh mencemarkan reputasi keluarga Tuan Yang Terutama.
Kenyataan itu meminta orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih dan berbaur fitnah.
Difahamkan, kertas siasatan telah dihantar oleh Ibu Pejabat Polis DiRaja Malaysia Kontinjen Sabah ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk diperhalusi sebelum diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut.
Kenyataan Istana Seri Kinabalu seterusnya mengingatkan bahawa penyebaran maklumat palsu boleh dikenakan tindakan dibawah undang undang sedia ada termasuk Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Sebarang perkembangan berkaitan siasatan hendaklah dirujuk kepada pihak Polis atau kepada Kementerian Pendidikan Malaysia bagi mengelakkan kekeliruan dan salah faham orang awam.
Datuk Haji Abdulah Hussin
Setiausaha Perhubungan Kepada TYT Yang di-Pertua Negeri Sabah