KOTA KINABALU: Skuad Anak Sabah menyifatkan insiden tidak bermoral yang berlaku di Teluk Likas, Kota Kinabalu dan tular di media sosial baru-baru ini sebagai amat memalukan serta mencemarkan imej negeri Sabah. Badan tersebut menegaskan, kejadian itu perlu dipandang serius dan tindakan tegas wajar diambil terhadap pihak yang terlibat.
Dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, Skuad Anak Sabah berpandangan bahawa antara punca utama keruntuhan akhlak dan nilai sivik dalam kalangan belia ialah kurangnya penekanan terhadap pendidikan moral dan sivik di peringkat sekolah, komuniti serta dalam persekitaran pembelajaran harian. Situasi itu menurut mereka, menyumbang kepada berlakunya gejala sosial yang semakin membimbangkan.
Sehubungan itu, Skuad Anak Sabah menggesa Kerajaan Negeri Sabah mengambil langkah lebih serius dan pragmatik dengan menggubal serta melaksanakan strategi baharu melalui program dan aktiviti khusus yang berkesan untuk memperkasakan pendidikan moral dan sivik, khususnya melibatkan golongan belia. Langkah ini juga disarankan dilaksanakan dengan kerjasama kementerian serta jabatan berkaitan bagi memastikan pelaksanaannya lebih tersusun dan berkesan.
Skuad Anak Sabah turut menyatakan komitmen untuk bekerjasama dan menyumbang tenaga, idea serta sukarelawan dalam merancang dan melaksanakan strategi pemulihan bersama kerajaan negeri. Mereka menegaskan bahawa kesalahan tetap kesalahan dan tindakan undang-undang perlu diambil, namun penyelesaian masalah secara menyeluruh memerlukan usaha mengenal pasti punca sebenar serta menanganinya secara berfokus.
Menurut kenyataan itu lagi, masa depan anak-anak Sabah perlu diperkasakan dan strategi pemulihan pendidikan moral serta sivik mesti dirangka dan dilaksanakan segera agar ia dapat membantu memulihkan serta mengembalikan martabat generasi muda demi masa depan negeri Sabah.
