
TUARAN: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata Kerajaan Negeri hari ini telah melaksanakan banyak inisiatif yang belum pernah berlaku sebelum ini untuk membantu pelajar di bawah agenda pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Belum pernah sebelum ini begitu banyak inisiatif dilaksanakan bagi pembangunan modal insan dan pendidikan di negeri ini. Dalam tempoh hampir lima tahun, kita telah membelanjakan sejumlah RM1.33 bilion untuk tujuan ini,” katanya.
Berucap pada majlis perasmian Dewan SK Bundung, yang dinamakan sempena nama beliau, di Topokon dekat sini hari ini, Hajiji berkata malah biasiswa negeri yang diagihkan kepada pelajar tahun ini juga telah meningkat kepada RM138 juta berbanding kira-kira RM50 juta sebelum ini.
“Namun jumlah ini masih belum mencukupi, dan saya telah meminta Setiausaha Kerajaan Negeri untuk menambah peruntukan tahun depan supaya lebih ramai pelajar Sabah yang cemerlang dapat menikmati bantuan ini,” katanya.
Hajiji berkata Kerajaan Negeri juga menyediakan bantuan tunai RM200 kepada kira kira 40,000 pelajar yang menduduki peperiksaan SPM dan STPM setiap tahun.
“Saya faham bahawa dalam kalangan 40,000 pelajar ini, pasti ada yang datang daripada keluarga kurang berkemampuan. Saya masih ingat ketika saya hendak menduduki peperiksaan LCE (Lower Cambridge Examination) pada tahun 1971, ibu saya terpaksa pergi meminjam wang daripada saudara-mara untuk membayar yuran peperiksaan sebanyak RM15. Jadi saya amat memahami betapa sukarnya keadaan itu,” katanya.
Hajiji memberi jaminan bahawa pembangunan modal insan dan pendidikan akan terus menjadi keutamaan utama Kerajaan Negeri masa kini.
“Pembangunan modal insan dan pendidikan merupakan tumpuan utama pembangunan negeri secara keseluruhan di bawah Hala Tuju SMJ. Kita telah mencapai kemajuan ketara dalam membangunkan ekonomi Sabah melalui sektor
pertanian, pelancongan dan perindustrian. Namun perjuangan kita tidak akan lengkap jika kita gagal membangunkan sektor pendidikan,” katanya
Ketua Menteri turut menggesa para guru supaya membantu menyampaikan maklumat yang tepat mengenai dasar serta program pembangunan kerajaan.
“Jangan terpengaruh dengan fitnah dan pembohongan pihak pembangkang. Mereka tidak nampak semua pencapaian Kerajaan Negeri,” katanya.
Hajiji berkata rekod pencapaian Kerajaan Negeri dalam membawa masuk pelaburan berimpak tinggi ke Sabah dan mewujudkan peluang pekerjaan sudah terbukti.
“Kalau betul kita buat salah, kenapa begitu ramai pelabur datang ke Sabah?” katanya, sambil menambah bahawa terbaharu ialah syarikat dari Singapura yang akan melabur sebanyak RM31 bilion dalam tiga fasa di Sipitang.
Kemudian, Hajiji turut menyaksikan majlis pemotongan kek perpisahan bagi meraikan persaraan Guru Besar SK Bundung, Grace Subramaniam. Turut hadir ialah Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Panglima Jahid Jahim.