
Tawau : Seorang wanita dan anak lelakinya meninggal dunia pada Selasa selepas dipercayai mengalami keracunan makanan sebaik menghadiri majlis kenduri kahwin di Kampung Batu 4, Jalan Apas, di sini.
Mangsa berusia 36 tahun dan anaknya berusia sembilan tahun dilaporkan mengalami muntah dan cirit-birit sebelum disahkan meninggal dunia.
Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superintenden Champin Piuh, berkata laporan dibuat oleh seorang wanita berusia 24 tahun yang memaklumkan ibu saudaranya dan sepupunya meninggal dunia akibat dipercayai keracunan makanan.
“Siasatan mendapati kedua-dua mangsa menghadiri kenduri pada Sabtu lalu dan membawa pulang makanan untuk suami mangsa. Suaminya turut mengalami simptom sama sehari selepas itu,” katanya.
Beberapa tetamu lain turut dilaporkan mengalami gejala serupa. Punca sebenar masih disiasat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan bantuan polis, manakala barang kes telah dihantar ke Jabatan Kimia.
Mayat kedua-dua mangsa telah dibedah siasat di Hospital Tawau dengan keputusan menunjukkan tiada kesan kecederaan.