
KUALA LUMPUR: Hormati proses undang-undang, itulah saranan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail kepada semua pihak berhubung kontroversi isu kes kematian pelajar, Zara Qairina Mahathir baru-baru ini.
Memetik laporan daripada Astro AWANI hari ini, beliau menjelaskan pihaknya menyedari bahawa kes itu mendapat perhatian daripada lapisan masyarakat namun apa yang penting adalah membiarkan proses undang-undang dilaksanakan terlebih dahulu.
Menurut beliau, walaupun siasatan telah dilengkapkan dan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC), keputusan mendakwa hanya akan dibuat selepas penelitian rapi.
“Kita hormat prosesnya dulu… kalau ada kecacatan pada satu kertas siasatan, pihak AGC akan kembalikan kepada pihak polis untuk diperkemaskan,” katanya.
Terdahulu, kisah kematian tragis seorang pelajar sekolah agama di Kinarut, Papar itu menjadi tumpuan seluruh rakyat Malaysia susulan beberapa isu timbul dan terdapat desakan yang mendorong kepada siasatan menyeluruh.
Untuk rekod Allahyarhamah Zara Qairina dipercayai terjatuh dari tingkat tiga dan dijumpai tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar, Sabah jam 4 pagi, pada 16 Julai lalu.
Pelajar berkenaan disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu pada keesokan harinya dan kes itu menjadi kontroversi susulan dakwaan melibatkan kes buli dan pembabitan anak orang-orang kenamaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika lawatan kerjanya di Sabah turut memberi jaminan tiada siapa akan terlepas daripada tindakan undang-undang sekiranya siasatan mendapati ada unsur-unsur jenayah berlaku pada kes berkenaan.
Setakat ini, seramai 60 individu telah disiasat dan laporan siasatan awal sudah dikemukakan pada Isnin lalu kepada Ibu Pejabat AGC.
Deasoka