
KOTA KINABALU: Pengambil alihan kerajaan terhadap kepentingan ekuiti sebanyak 25 peratus Petronas LNG kelmarin membuktikan Kerajaan GRS-PH Plus kuat berkerja dan bukannya bermain retorik politik semata.
Presiden Persatuan Kebajikan Santun Kasih Sabah (PERSANTUN), Datuk Najib Tay Abdullah berkata, perjanjian induk (HoA) yang termeterai di Kuala Lumpur pada Khamis lalu turut menyaksikan keikhlasan sesebuah kerajaan ‘memikirkan’ hala tuju penumbuhan ekonomi di negeri menerusi rangka-rangka strategi sedemikian.
“Ia secara tidak langsung dapat menutup mulut para pengkritik yang hanya tahu mencaci kerajaan tanpa mereka sedari Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan barisan pimpinannya sudah bersusah payah membangunkan negeri ini dalam masa tempoh lima tahun.
“Kejayaan HoA itu adalah penting bagi menjalankan pembangunan jangka panjang selain peningkatan keselamatan tenaga dan mewujudkan peluang pekerajaan baharu, ” katanya, di sini, hari ini.
Memetik laporan BERNAMA, kerajaan negeri melalui SMJ Energy Sdn Bhd menandatangani HoA dengan Petronas LNG Sdn Bhd untuk mengambil alih kepentingan ekuiti sebanyak 25 peratus dalam kemudahan gas asli cecair terapung berhampiran pantai (ZLNG) bernilai AS$3.1 bilion (RM13.17 bilion) di Sipitang.
ZLNG, kini dalam pembinaan, dijangka mula beroperasi pada separuh kedua 2027.
Hajiji Noor menjelaskan, kerjasama ini merupakan satu lagi pencapaian penting dalam mencapai matlamat pembangunan jangka panjang Sabah, yang termasuk menggalakkan pertumbuhan industri, meningkatkan keselamatan tenaga dan mewujudkan peluang baharu untuk memacu kemajuan negeri.
Sementara itu, menurut Najib Tay, perkembangan baharu tersebut dalam masa yang sama memberikan iltizam di kalangan pemain industri terutamanya berkaitan minyak dan gas bagi menarik lebih ramai pelaburan ke negeri Sabah.
“Dengan adanya lanskap ini dan pengambil alihan berkenaan, maka kita sudah dapat membayangkan betapa kerajaan Hajiji serius dalam meningkatkan keupayaan ekonomi dan lebih penting mewujudkan peluang pekerjaan khususnya kepada anak-anak muda tempatan kita.
“Kami sekali lagi berharap, perkembangan ini dapat menutup mulut pengkritik terutamanya pihak pembangkang yang semakin menjadi-jadi terhadap pemerintahan GRS.
“Kalau mereka jadi kerajaan, belum tahu lagi dapat lakukan seperti mana yang Hajiji lakukan sekarang, “katanya.
Deasoka