KOTA KINABALU: Tindakan melontarkan komen negatif dan berunsur penghinaan terhadap Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah disifatkan sebagai keterlaluan serta mencerminkan kedangkalan ilmu dan ketandusan adab dalam menggunakan media sosial.
Timbalan Presiden Persatuan Kebudayaan dan Kebajikan Etnik Kujau Gana Nabai Sabah (KGNS), Yazid Hasnan Tawik @ Charles, berkata pihaknya kesal dengan segelintir individu yang mengeluarkan kenyataan menghina institusi tertinggi negeri itu susulan pelantikan TYT Sabah sebagai Canselor Keempat Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini.
“Komen negatif sebegitu amat tidak wajar. Jawatan TYT bukan bahan gurauan. Sebagai rakyat Sabah, kita seharusnya memahami dan menghormati institusi tertinggi negeri ini. Jika kita sendiri tidak menghormatinya, siapa lagi yang akan berbuat demikian?” tegasnya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, tindakan tidak bertanggungjawab itu mencemar imej Sabah yang selama ini sinonim dengan budi bahasa, kesantunan dan keharmonian masyarakat pelbagai kaum.
Yazid turut menasihatkan golongan muda, khususnya belia dan pelajar, supaya lebih berhemah dan berfikiran matang ketika menggunakan media sosial bagi mengelakkan provokasi yang boleh menjejaskan perpaduan masyarakat.
Katanya, undang-undang sedia ada seperti Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 memperuntukkan tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang menyalahgunakan platform digital untuk menyebar kebencian atau fitnah.
“Perbezaan pandangan dan ideologi politik, sosial mahupun kesukuan adalah lumrah. Namun, jangan sampai ia digunakan untuk menghina atau memperlekehkan institusi kepimpinan tertinggi negeri.
“Sebaliknya, marilah kita bersama-sama mencetuskan idea bernas dan membina demi kemajuan negeri,” katanya.
Dalam pada itu, Yazid turut merakamkan ucapan tahniah kepada Tun Datuk Seri Panglima (Dr) Musa Haji Aman atas pelantikan sebagai Canselor Keempat UMS, yang disifatkannya sebagai pelantikan tepat pada masa bagi memperkukuh kecemerlangan akademik di Sabah.
“Tun Musa merupakan tokoh berpengalaman luas dalam pembangunan negeri dan modal insan, serta telah banyak membawa perubahan terhadap landskap ekonomi Sabah sewaktu beliau menjawat jawatan Ketua Menteri.
“Dengan pengalaman yang dimiliki, saya yakin beliau mampu membawa perubahan besar dalam menjulang kecemerlangan UMS ke arah melahirkan modal insan berkualiti demi masa depan generasi muda dan kemajuan negeri,” ujarnya.
Pada 2 November lalu, Tun Musa menerima watikah pelantikan sebagai Canselor Keempat Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang diserahkan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir, di Istana Seri Kinabalu.
