
KOTA KINABALU : Beberapa insiden provokasi agama yang tular di Sabah sejak kebelakangan ini mencetuskan keresahan masyarakat, sekali gus mendorong Pertubuhan Amal Kembara Aspirasi Sabah (PAKAS) tampil memberi peringatan keras agar isu sebegini tidak berulang.
Pengerusinya, Kefayatullah Malik Aman, menegaskan bahawa sebarang provokasi melibatkan agama, kaum dan institusi diraja (3R) perlu dihentikan serta-merta oleh semua pihak, tanpa mengira agama atau bangsa.
“Saya ingin menegaskan, bukan sahaja umat Islam tetapi juga masyarakat bukan Islam perlu sama-sama menjaga tutur kata dan penulisan mereka. Jangan sesekali menyentuh isu agama sehingga menyinggung perasaan penganut lain. Media sosial bukan tempat menabur kebencian,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya, Islam sendiri mengajar penganutnya menghormati agama lain sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Al-An’am ayat 108:
“Dan janganlah kamu menghina sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, kerana mereka nanti akan menghina Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan.”
Kefayatullah berkata, prinsip ini perlu dijadikan panduan bersama dalam masyarakat majmuk, agar keharmonian yang sekian lama wujud di Sabah tidak terjejas.
Beliau menambah, rakyat Sabah kini berdepan cabaran lebih besar apabila negeri ini dilanda pelbagai bencana alam hingga meragut nyawa dan memusnahkan harta benda.
“Daripada kita membiarkan provokasi berleluasa, lebih baik kita bersatu hati, berdoa untuk kesejahteraan negeri dan berganding bahu membantu mangsa bencana. Perpecahan hanya akan melemahkan kita semua,” ujarnya.
Pertubuhan Amal Kembara Aspirasi Sabah menegaskan isu 3R bukan ruang permainan, dan menyeru seluruh rakyat agar menjadikan keamanan serta perpaduan Sabah sebagai keutamaan bersama.