
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyeru rakyat untuk terus menjiwai erti sebenar Hari Malaysia dan meraikannya dengan semangat patriotisme serta kecintaan yang mendalam kepada negara.
“Marilah kita pastikan perpaduan dan keharmonian rakyat berbilang kaum dan agama terus terpelihara serta berkekalan di bumi bertuah ini,” katanya dalam perutusan Hari Malaysia di sini.
Hajiji berkata, 16 September merupakan tarikh keramat iaitu hari penubuhan Malaysia. “Sebagai rakyat Malaysia, kita amat berbangga dan mesti sentiasa mengingati hari bersejarah ini kerana ia menandakan detik negara kita menjadi berdaulat dan merdeka.
“Pembentukan Malaysia telah membawa pelbagai nikmat dan manfaat kepada semua lapisan masyarakat di negara ini.
“Namun, perjalanan membina negara masih panjang, penuh dengan cabaran serta rintangan yang harus dihadapi.
“Hanya dengan adanya kesatuan, kebersamaan dan perpaduan demi kepentingan tanah air, segala cabaran ini dapat diatasi,” katanya.
Sehubungan itu, Ketua Menteri mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk menghayati tema Hari Malaysia tahun ini, “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni”, yang mencerminkan keprihatinan serta komitmen kerajaan terhadap kebajikan rakyat berdasarkan prinsip Malaysia MADANI.
Ia juga selaras dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya yang menekankan kesejahteraan rakyat, keadilan, perpaduan serta pembangunan saksama untuk semua lapisan masyarakat.