
BEAUFORT : Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Sabah, Encik Hashim Daris, menyelar kenyataan Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Lumadan, Datuk Mazlan Joehari Manan yang mempertikaikan kelayakan Amanah untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Menurut Hashim yang juga Ketua Amanah Kawasan Sipitang, kenyataan tersebut menggambarkan ketidakmatangan politik dan tidak berpijak di bumi nyata, kerana Amanah telah lama bertapak di kawasan berkenaan serta mempunyai sokongan akar umbi yang kukuh.
“Amanah telah wujud di Parlimen Sipitang yang merangkumi DUN Lumadan dan DUN Sindumin lebih lima tahun lalu. Kami bukan parti baharu. Banyak cawangan telah ditubuhkan dan jumlah keahlian kami terus meningkat,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Hashim turut mengingatkan bahawa pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Parti Amanah yang mewakili Pakatan Harapan (PH) telah meletakkan calon bagi Parlimen Sipitang, iaitu Datuk Lahirul Latigu, yang memperoleh lebih 2,500 undi di kawasan DUN Lumadan sahaja.
“Jumlah itu sudah cukup untuk menunjukkan bahawa Amanah bukan parti asing bagi pengundi di Lumadan. Sokongan terhadap kami adalah nyata dan tidak boleh dinafikan,” katanya.
Mengulas dakwaan Mazlan kononnya Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mempunyai sokongan yang besar di Lumadan, Hashim mempersoalkan asas kenyataan tersebut memandangkan GRS Lumadan masih belum teruji dalam pilihan raya.
“Sebelum ini, Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musa bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN), bukan GRS. Semua orang tahu latar politik ketika itu. Jadi tidak adil untuk GRS mendakwa kekuatan yang belum terbukti di peti undi,” katanya.
Hashim turut menegaskan bahawa kenyataan yang dikeluarkan beliau bukan untuk menimbulkan persaingan antara parti dalam kerajaan, sebaliknya sekadar mempertahankan maruah Amanah yang dilihat cuba diperlekeh.
“Kami tidak mempunyai masalah jika calon yang mewakili kerajaan perpaduan GRS-PH Plus nanti bukan dari Amanah, tetapi biarlah keputusannya dibuat secara bijaksana dan berpandukan rekod serta kekuatan sebenar,” ujarnya.
Beliau menegaskan bahawa penentuan calon PRN ke-17 bagi DUN Lumadan seharusnya diserahkan kepada kebijaksanaan pucuk pimpinan, termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
“Kami di peringkat Amanah Sipitang sentiasa sedar kemampuan dan kapasiti kami. Penentuan calon bukan urusan kami di peringkat bawah. Janganlah kita mengambil alih tugas pucuk pimpinan. Nanti nampak sangat kita ini terlalu pandai,” katanya sinis.
Dalam pada itu, Hashim menyeru semua pihak dalam kerajaan perpaduan agar menjaga keharmonian dan tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh mencetuskan perbalahan sesama sendiri menjelang PRN yang semakin hampir.