KENINGAU: Sambutan Hari Krismas bukan sahaja mempunyai nilai keagamaan yang mendalam kepada penganut agama Kristian, malah menjadi lambang penting kepada semangat kasih sayang, toleransi dan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum serta agama di Sabah, kata Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor, Hj Yazid Hj Mohd Hasnan Tawik@Charles.
Beliau berkata, kepelbagaian perayaan yang diraikan bersama di negeri ini mencerminkan keunikan serta kekuatan perpaduan rakyat Sabah yang menjadi asas kepada kestabilan sosial dan keharmonian hidup bermasyarakat.
Menurutnya, nilai murni yang terkandung dalam sambutan Hari Krismas wajar dijadikan contoh dan landasan untuk terus memupuk sikap saling menghormati serta memperkukuh hubungan silaturahim dalam kalangan rakyat tanpa mengira perbezaan latar belakang agama dan budaya.
“Perayaan seperti Hari Krismas perlu dimanfaatkan sebagai medium untuk mempereratkan hubungan antara komuniti, sekali gus menyemai semangat kebersamaan demi kesejahteraan dan keharmonian bersama,” katanya dalam kenyataan sempena sambutan Hari Krismas, di sini.
Hj Yazid turut merakamkan ucapan Selamat Menyambut Hari Krismas kepada seluruh penganut agama Kristian, khususnya di daerah Keningau dan amnya di seluruh Sabah.
Beliau berkata, amalan saling memahami dan menghormati yang sekian lama menjadi teras kehidupan masyarakat di negeri ini perlu terus diperkasakan agar keharmonian yang dikecapi dapat dipelihara dan diwarisi oleh generasi akan datang.
Dalam pada itu, beliau berharap agar sambutan Hari Krismas tahun ini membawa kedamaian, kegembiraan serta sinar harapan kepada seluruh rakyat, di samping mengukuhkan semangat perpaduan dalam usaha membangunkan masyarakat yang sejahtera, inklusif dan berdaya tahan.
Katanya, Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor akan terus komited memainkan peranan sebagai platform kebajikan dan perpaduan masyarakat, sejajar dengan aspirasi membina komuniti yang harmoni dan saling menyokong di daerah ini.
