TAWAU : Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) menegaskan kesediaannya untuk bertanding di mana-mana kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan ditentukan oleh pucuk pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Presiden Harapan Rakyat, Tan Sri Liew Yun Fah berkata, partinya sentiasa menghormati keputusan yang dibuat secara kolektif dalam gabungan itu dan tidak akan bertindak secara sendirian dalam soal pembahagian kerusi.
“Sebagai presiden parti, memang saya mahu semua kerusi, tetapi kita ini berada dalam satu gabungan. Kita parti yang berdisiplin dan tidak datang untuk berebut. Apa juga keputusan pucuk pimpinan, kita akan akur dan bersedia bertanding di mana sahaja ditetapkan,” katanya.
Menurut Liew, GRS kini di peringkat akhir rundingan untuk memuktamadkan agihan kerusi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijangka diadakan tidak lama lagi.
Beliau turut menjelaskan bahawa Harapan Rakyat hanya menyasarkan dua hingga tiga kerusi dalam PRN kali ini bagi memastikan tumpuan yang lebih strategik dan realistik.
“Kita hanya minta dua hingga tiga kerusi sahaja, sebab kita mahu kerusi yang betul-betul boleh kita menangi. Parti besar pun asalnya dari kecil, jadi kita percaya Harapan Rakyat juga boleh berkembang dengan cara yang sama,” jelasnya.
Tan Sri Liew berkata demikian selepas menyempurnakan majlis penyerahan Rumah Sabah Maju Jaya (SMJ) kepada lima penerima di kawasan Merotai, Tawau, pada Khamis.
