TENOM: Kerajaan Negeri telah mengeluarkan hampir 40,000 ekar tanah negeridaripada kawasan konsesi Sabah Forest Industry (SFI) untuk dijadikan rizab kampung, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
“Kerajaan Negeri GRS telah mewartakan rizab kampung ini sebagai bukti bahawa kerajaan peka terhadap keperluan rakyat.
“Dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri yang lalu, kita telah meluluskan lebih 40,000 ekar tanah kerajaan daripada SFI untuk tujuan ini,” katanya semasa melancarkan Jentera Pilihan Raya Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Kemabong di Dataran Daerah Kecil Kemabong, di sini, hari ini.Hajiji berkata, di bawah Kerajaan Negeri yang diterajui GRS, tanah milik syarikat berkaitan kerajaan (GLC) juga telah diperuntukkkan dan diberikan kepada rakyat.
“Kita mahu rakyat hidup dengan selesa. Di bawah Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), salah satu tonggaknya ialah kemakmuran rakyat, sebab itu kita mengutamakan kebajikan rakyat,” katanya.
Menurut beliau, sebelum ini hanya sekitar 30,000 orang tersenarai sebagai penerima bantuan kebajikan, namun di bawah Kerajaan Negeri sekarang, jumlah penerima telah meningkat kepada 70,000 orang.
Hajiji turut berkata, Kerajaan Negeri telah memperoleh banyak manfaat daripada Perjanjian Kerjasama Kpmersial (CCA) dengan PETRONAS, sambil menegaskan bahawa Sabah kini mempunyai suara yang lebih besar dan penglibatan yang lebih luas dalam industri minyak dan gas.
“Dalam sektor peerkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE), kini terdapat lebih 80 vendor tempatan yang terlibat dalam industri minyak dan gas berbanding hanya 10 pada tahun 2022,” katanya sambil menambah bahawa vendor-vendor ini kini menguasai 36 peratus daripada pasaran kontrak.
Hajiji berkata, tidak seperti pihak pembangkang yang bermain politik dendam apabila mengambil alih kerajaan, kerajaan pimpinan GRS menumpukan kepada pembangunan dan kemajuan melalui Hala Tuju SMJ 1.0.
