MENUMBOK: Senarai calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan diumumkan pada 12 November ini, iaitu tiga hari sebelum hari penamaan calon Pilihan Raya Umum negeri Sabah Ke-17.
Tarikh itu disahkan Ketua Menteri, Datuk Seri Pamglima Haji Hajiji Haji Noor ketika mengulas mengenai pengumuman calon beberapa parti yang dibuat lebih awal, bermula pada akhir minggu ini.
Katanya, terpulang kepada mana-mana parti untuk mengumumkan calon masing-masing, tetapi GRS menetapkan 12 November iaitu pada Rabu depan untuk membuat pengumuman calonnya yang bakal bertanding pada 29 November ini.
“Kita sudah agih kerusi, jadi dia mahu umum, dia umumlah dia punya, kita akan umum kemudian. Kita akan umumkan pada 12 November nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Buku Pelan Strategik Pembangunan Daerah Kuala Penyu dan Daerah Kecil Menumbok 2025 – 2035, Penyerahan Kunci Rumah Sabah Maju Jaya, Perasmian Masjid Nur Ihsan Daerah Menumbok, Penyerahan Warta Tanah dan Penyampaian bantuan Yayasan Limus Jury di Tapak Tamu Pekan Menumbok, pada Khamis.
Sementara itu, Hajiji yang juga Pengerusi GRS mengulangi keyakinannya terhadap kemampuan GRS untuk kembali memerintah negeri ini selepas PRU DU Sabah Ke-17 pada 29 November nanti.
Katanya, keyakinan itu berdasarkan kekuatan calon boleh menang yang dipertaruhkan GRS di semua kerusi yang akan ditandinginya.
“Kita hanya letak calon yang boleh menang termasuk di Kuala Penyu ini, calonnya saya sudah bagi ‘hint’ tadi dan kita yakin menang pada pilihan raya ini.
“Kalau menang kita akan teruskan pelan pembangunan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 untuk kesinambungan program pembangunan di Sabah,” katanya.
Dalam hal lain, Ketua Menteri bersetuju agar cadangan pembinaan jambatan menghubungkan Wilayah Persekutuan Labuan dengan tanah besar Sabah dibincangkan semula dengan kerajaan Persekutuan.
Katanya, kemudahan itu penting bukan saja untuk memudahkan perhubungan di antara pulau itu dengan tanah besar Sabah, malah disasar mampu melonjakkan lagi ekonomi daerah kecil Menumbok dan Kuala Penyu.
