
Kota Kinabalu: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyambut baik kenyataan terkini Jabatan Peguam Negara yang telah mengeluarkan arahan lanjut berhubung kes kematian pelajar, Zara Qairin Mahathir.
Menurutnya, kes tersebut bukan sahaja menyentuh perasaan rakyat di Sabah, malah turut mendapat perhatian luas di seluruh negara termasuk dari negara jiran.
“Ini jelas menunjukkan bahawa keadilan untuk adik Zara adalah tuntutan bersama yang merentasi sempadan dan perbezaan.
“Kita meletakkan keyakinan kepada pihak berkuasa untuk membuat siasatan secara telus dan menyeluruh agar keadilan dapat ditegakkan buat Zara dan keluarganya.
“Saya menyeru semua pihak agar terus bertenang, tidak terpengaruh dengan spekulasi, serta memberi ruang dan kepercayaan kepada proses undang-undang yang sedang berjalan, “katanya ketika memetik status media rasminya, di sini, semalam.