
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, hari ini mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).
Mesyuarat berkenaan merupakan yang pertama selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) serta selepas Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan Parti Maju Sabah (SAPP) meninggalkan gabungan tersebut.
Hajiji yang juga Pengerusi GRS memimpin sesi itu yang dihadiri barisan pimpinan utama parti komponen, termasuk Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam; Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno), Tan Sri Pandikar Amin Mulia; Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Datuk Chin Su Phin; Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Tan Sri Anifah Aman; Timbalan Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat), Rina Jainal; dan Timbalan Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.
Turut menarik perhatian ialah kehadiran Timbalan Presiden Star, Datuk Ellron Alfred Angin, yang mengumumkan keputusan beliau bersama empat lagi wakil rakyat daripada partinya untuk kekal bersama GRS.
Mesyuarat itu dilihat sebagai usaha memperkukuh hala tuju gabungan tersebut menjelang Pilihan Raya Negeri yang akan datang, selain menegaskan komitmen GRS untuk terus menjadi teras kestabilan politik di Sabah.