
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan bahawa Kerajaan Negeri tidak akan berkompromi dalam soal akidah, pembangunan dan kesejahteraan ummah.
Kerajaan Negeri sentiasa menyokong pembangunan syiar Islam, sebagaimana yang giat dijalankan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), dan beberapa NGO seperti Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) serta Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), katanya di katanya ketika merasmikan Konvensyen Du’at di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di sini hari ini.
Selain itu, katanya, selaras dengan dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya yang turut mengutamakan pembangunan modal insan, agensi seperti MUIS dan Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah telah bekerjasama dengan Yayasan Sabah dan Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri untuk menyediakan peluang biasiswa kepada pelajar Sabah yang ingin melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara.
Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 yang tempohnya hampir tamat, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan dana besar untuk menaik taraf infrastruktur masjid dan surau di seluruh Sabah serta pelbagai latihan dan pembangunan modal insan untuk para du’at, katanya.
“Insya-Allah, di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 yang akan datang, kita akan terus memperjuangkan agenda memperkasakan dakwah dan memajukan pembangunan Islam selaras dengan kehendak serta keperluan semasa.
“Ini termasuklah transformasi dakwah digital seiring dengan Revolusi Industri Keempat, penempatan pendakwah bersepadu di kawasan pedalaman dan pulau-pulau, serta program khas belia MADANI bagi melahirkan pendakwah muda yang berwibawa,” katanya.
Dalam hal ini, Hajiji berkata Kerajaan Negeri berbesar hati menyampaikan watikah pelantikan Imam-Imam Daerah di seluruh Sabah yang dipilih daripada kalangan ImamImam Kariah.
Deasoka