
KOTA KINABALU: Ketua Menteri yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyeru seluruh jentera GRS agar menggandakan usaha, turun ke setiap rumah, mendekati dan santuni rakyat di semua peringkat menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Sabah ke-17 bulan depan.
Beliau menegaskan bahawa kemenangan tidak akan datang tanpa kerja keras, kesungguhan dan kerjasama padu seluruh jentera parti daripada peringkat negeri hingga ke akar umbi.
“Jangan ada yang leka, jangan merasa cukup dengan apa yang telah kita capai. Setiap seorang daripada kita adalah barisan hadapan perjuangan ini,” katanya ketika berucap melancarkan Jentera Pilihan Raya GRS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Ahad.
Menurutnya, setiap kawasan, kampung dan taman perumahan perlu dijadikan medan perjuangan untuk memastikan mesej dan aspirasi GRS sampai kepada setiap pengundi.
“Setiap kediaman wajar dikunjungi, setiap pengundi wajib dikenalpasti dan didekati, dan setiap hati mesti disantuni,” tegasnya.
Hajiji turut mengingatkan jentera GRS agar tidak berputus asa atau mudah menyerah kalah, sebaliknya terus berjuang dengan semangat tinggi dan tekad yang tidak tergoyah.
“Patah galah bertongkat kaki, patah kaki bertongkat lutut, patah lutut bertongkat siku, patah siku bertongkat kuku. Namun menyerah kalah tidak sekali!” katanya.
Menurutnya, perjuangan GRS mesti diteruskan dengan iltizam dan disiplin tinggi bagi memastikan Sabah terus ditadbir oleh kerajaan yang stabil dan berwibawa.
“Kemenangan dan kejayaan tidak datang bergolek. Ia hanya akan kita capai dengan kerja kuat, niat yang ikhlas dan bergerak secara berpasukan,” ujarnya.
Beliau berkata, kekuatan GRS bukan hanya terletak pada dasar dan pencapaiannya, tetapi juga pada semangat juang serta kesetiaan para pendukung di seluruh negeri.
“Sudah tiba masa untuk kita turun ke gelanggang perjuangan dengan semangat yang membara, dengan keyakinan yang tidak tergoyah demi memperjuangkan nasib rakyat dan masa depan negeri tercinta,” katanya
“Gunung yang tinggi tetap kita daki, lautan yang dalam tetap kita renangi. Tiada istilah putus asa atau tunduk menyerah dalam kamus GRS yang kita perjuangkan ini,”
katanya.
Hajiji menambah, Pilihan Raya kali ini bukan sekadar soal mendapatkan mandat baharu, tetapi perjuangan mempertahankan masa depan Sabah agar terus maju di bawah pimpinan GRS.