
KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan memperoleh kemenangan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Sabah ke-17, hasil kesatuan, kesiapsiagaan dan semangat juang jentera parti di semua peringkat.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yang juga Pengerusi GRS berkata, pelancaran jentera GRS menjadi medan penting memperkukuh strategi dan semangat seluruh anggota menjelang PRN yang bakal berlangsung bulan depan.
“Jika kita memiliki jentera yang efisien, terlatih dan bersatu hati, insya-Allah GRS akan mencatat kemenangan dalam Pilihan Raya Umum Sabah ke-17,” katanya semasa berucap melancarkan Jentera Pilihan Raya GRS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Ahad.
Beliau mengingatkan jentera parti agar tidak leka, sebaliknya bekerja keras untuk memastikan kemenangan besar dan memastikan Sabah kekal ditadbir oleh kerajaan yang stabil dan berwibawa.
“Kita mesti semarakkan semangat juang dan memperkukuh kesatuan. Dengan semangat yang padu dan kesatuan yang kukuh, tiada kekuatan lawan yang mampu menggugat perjuangan kita,” katanya.
Hajiji berkata, walaupun dua parti memilih untuk keluar daripada gabungan menjelang Pilihan Raya, kekuatan dan perpaduan GRS kekal utuh kerana perjuangan ini berasaskan keikhlasan dan persahabatan tulen demi masa depan negeri Sabah.
“Peristiwa ‘Langkah Kinabalu’ telah mengajar kita sesuatu yang amat berharga: rumah kita sudah diuji, dan rumah kita tidak tumbang.
Rumah kita, kita jaga – rumah kita, rumah Gabungan Rakyat Sabah!” tegasnya.
Beliau berkata, GRS adalah cerminan kerjasama tulen parti-parti tempatan terbesar di Sabah dan tiada gabungan lain yang mampu menandingi kekuatan itu.
“Tiada lagi gabungan sebesar GRS yang menyatupadukan parti-parti lokal dengan matlamat memperjuangkan hak orang Sabah sebagai rakan kongsi dalam Malaysia. Sebab itu penting untuk kita pastikan GRS bukan sahaja menang, tetapi menang dengan penuh bergaya!” katanya.
Hajiji turut menekankan bahawa PRN kali ini bukan sekadar perebutan kuasa, tetapi pertarungan menentukan masa depan Sabah.
“Kemenangan GRS akan memberi kita suara lebih besar dalam memperjuangkan hak negeri dan memastikan dasar pembangunan sedia ada diteruskan. Jika gagal, rakyat dan negeri ini akan rugi,” katanya.
“Gunung yang tinggi tetap kita daki, lautan yang dalam tetap kita renangi! Rumah kita, kita yang jaga – bukan kita, siapa lagi?” katanya.
Beliau turut menyeru jentera GRS di semua peringkat untuk menguasai medan media sosial dalam menangkis fitnah dan menyalurkan maklumat tepat kepada rakyat.
“Pembangkang menabur fitnah dan propaganda di media sosial. Jika mereka menyerang dengan kebohongan, kita mesti serang balik dengan kebenaran dan fakta,” katanya.
Menurutnya, setiap ahli perlu menjadi penyampai maklumat yang tepat, berhemah dan berfakta bagi menangkis tohmahan serta fitnah pihak lawan.
“Jangan biarkan Sabah ini kembali ke tangan mereka yang gagal mentadbir, tiada hala tuju jelas dan hanya berpolitik atas dasar dendam serta kepentingan peribadi.
“PRN ke-17 kali ini bukan sekadar pertempuran di lapangan, tetapi juga di ruang maya. Medan media sosial menjadi gelanggang utama untuk membentuk persepsi rakyat.
Kemenangan GRS banyak bergantung kepada sejauh mana kita mampu menguasai ruang ini dengan mesej yang jelas, pantas dan berkesan”, tegasnya.
Katanya, jika seluruh jentera GRS bersatu, tangkas, dan kreatif menggunakan media sosial sebagai alat komunikasi utama, maka tidak ada propaganda pembangkang yang mampu menggugat keyakinan rakyat terhadap GRS. Hajiji menegaskan bahawa semangat juang GRS tidak akan luntur biarpun berdepan cabaran getir.