
Kota Kinabalu: Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor dilihat bersifat matang dan budiman dalam isu parti STAR dan SAPP yang bertindak keluar daripada komponen itu baru-baru ini.
Tiada sebarang tohmahan, buruk sangka atau tuding-menuding berlaku dengan ‘perpisahan’ tersebut yang berlaku dengan tenang serta matang.
Presiden Kehormat Persekutuan Persatuan-Persatuan Cina Tawau (TCA), Datuk Najib Tay Abdullah memuji ketenangan dan sikap ‘gentleman’ yang dimiliki oleh Hajiji dalam berhadapan dugaan politik terbaru itu.
“Kalau orang lain, saya rasa sudah pasti akan berlaku sesuatu tetapi Hajiji memilih keadaan lebih diplomasi dan demokrasi dalam berpolitik.
“Kepada STAR dan SAPP, kami merakamkan penghargaan atas kerjasama dalam gandingan bersama mentadbir kerajaan dan semoga maju jaya dalam pilihan raya negeri nanti, ” katanya dalam satu kenyataan medianya hari ini.
Terdahulu, pada Khamis, GRS mengesahkan dua parti komponennya STAR dan SAPP bertindak bertanding dengan logo sendiri pada PRN Sabah akan datang.
Perkara itu dipercayai dimuktamadkan oleh kedua Presiden parti terbabit, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan dan Datuk Seri Yong Teck Lee dalam pertemuan pucuk pimpinan GRS pada pertemuan dengan Hajiji di Sri Gaya, Kota Kinabalu, Khamis lalu.
Sementara itu, Najib Tay percaya barisan pimpinan GRS sedia ada tidak akan goyah dengan perkembangan baharu tersebut dan bersedia menghadapi PRN Sabah.
“Saya yakin pimpinan Hajiji selaku Ketua Menteri Sabah mempunyai landasan yang tepat menerajui pentadbiran negeri sekali lagi selepas PRN akan datang.
“Selain daripada trek rekod yang baik serta perkembangan ekonomi yang positif, saya kira faktor pembangkang yang sudah diketahui retorik akan menyebabkan rakyat lebih memilih GRS dan sekutu, PH Sabah.
“Pemimpin datang dan pergi adalah lumrah dalam dunia politik akan tetapi kemampuan mentadbir adalah perkara utama yang perlu ditimbangkan oleh semua pihak termasuklah rakyat di negeri ini.
“Jangan terlalu emosi membuat keputusan sedangkan pembangkang belum pasti dapat melakukan apa yang GRS dan PH Sabah telah lakukan, “katanya.