KOTA KINABALU: Aktivis politik pro-Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Aksyah Haji Nasrah menyifatkan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor sebagai pemimpin yang memiliki ketajaman diplomasi, bukannya ketololan berkonfrontasi seperti yang cuba digambarkan oleh pembangkang.
Menurutnya, pemimpin Parti Warisan sering menuduh kononnya Hajiji dan GRS tunduk kepada pengaruh “Malaya”, namun hakikatnya tuduhan itu hanyalah propaganda politik untuk menagih sokongan rakyat.
“Mereka mendakwa merekalah pejuang sebenar slogan ‘Sabah for Sabahan’, sedangkan tindakan mereka bertanding solo hanyalah untuk mencuba nasib menguasai lebih banyak kerusi, bukan keberanian sebenar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Aksyah menjelaskan, dalam isu tuntutan hak 40 peratus hasil Sabah, Presiden Warisan sendiri pernah menerima keputusan Kerajaan Persekutuan untuk memberikan RM53.4 juta dengan alasan perlu ada timbang rasa terhadap kedudukan kewangan negara.
“Lebih mengecewakan, semasa menjadi Ketua Menteri, beliau enggan bersama Sarawak mempertahankan hak Sabah melalui saluran undang-undang. Malah, mendiang Datuk James Masing pernah menyatakan Shafie Apdal takut kepada Tun Dr Mahathir yang ketika itu Perdana Menteri,” katanya.
Sebaliknya, katanya, Hajiji tidak hanya menerima keputusan Persekutuan, malahan beliau terus berunding sehingga Sabah berjaya memperoleh peningkatan pemberian khas interim mencecah RM600 juta, hasil kebijaksanaan beliau mengurus hubungan negeri dan pusat.
Aksyah turut menegaskan bahawa di bawah kepimpinan Hajiji, Sabah berjaya memanfaatkan hasil minyak dan gas dengan lebih optimum.
“Petronas akhirnya menerima banyak tuntutan dan memberi hak yang sepatutnya kepada Sabah. Hasilnya, pendapatan tahunan negeri meningkat sehingga berbilion ringgit,” katanya.
Beliau menyifatkan kenyataan pembangkang yang memperlekeh angka itu sebagai “jenaka kebudak-budakan”, sedangkan semasa Warisan memerintah, mereka gagal menuntut apa-apa hasil signifikan daripada sumber minyak dan gas negeri.
Aksyah berkata, keputusan Mahkamah Tinggi baru-baru ini yang mengarahkan Kerajaan Persekutuan membayar semula tunggakan 48 tahun hak 40 peratus itu adalah bukti kemuncak kebijaksanaan Hajiji dalam geopolitik Sabah.
“Sabah Law Society sendiri mengakui Kerajaan Sabah banyak membantu mereka sepanjang kes itu. Jadi, tuduhan bahawa Hajiji menumpang kejayaan SLS adalah tidak berasas sama sekali,” ujarnya.
Katanya, Hajiji memahami seni berdiplomasi dalam perjuangan menuntut hak negeri tanpa menjejaskan hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan.
“Seperti menarik rambut dalam tepung – rambut tidak putus, tepung tidak berserak. Itulah kebijaksanaan Hajiji yang memilih jalan diplomasi supaya tiada hati yang terluka, namun hasilnya tetap dirasai rakyat,” katanya.
Aksyah menegaskan, perbandingan hasil pemerintahan jelas menunjukkan perbezaan ketara antara Warisan dan GRS.
“Ketika Warisan memerintah, tiada keputusan strategik yang membawa manfaat besar kepada rakyat Sabah. Sebaliknya, di bawah GRS, pelbagai dasar Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) berjaya dilaksanakan,” katanya.
Beliau menambah, hubungan baik antara GRS dan Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu dikekalkan demi kesinambungan pembangunan Sabah.
“Justeru, rakyat Sabah perlu mengekalkan GRS sebagai tonggak pemerintahan negeri. Hajiji telah membuktikan bahawa diplomasi yang tajam jauh lebih berkesan daripada politik konfrontasi,” tegas Aksyah.
