
KOTA KINABALU: Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah membuktikan keupayaan serta kecekapan dalam membawa Sabah ke tahap pencapaian yang membanggakan sepanjang lima tahun mentadbir negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menegaskan, pelaksanaan dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) menjadi landasan utama kepada kejayaan itu, yang menyaksikan hasil negeri merekodkan kutipan hasil tertinggi dalam sejarah serta pertumbuhan pesat dalam sektor perindustrian, pelancongan dan pertanian.
“Dalam masa yang sama, pelbagai inisiatif pendidikan dan pembangunan modal insan terus diperkasa, di samping bantuan kebajikan diperluas bagi memastikan kesejahteraan rakyat Sabah sentiasa terpelihara,” katanya
ketika berucap melancarkan Jentera Pilihan Raya GRS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini pada Ahad. Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata, Kerajaan Negeri turut komited menangani isu asas rakyat seperti bekalan air, jalan raya dan elektrik.
Katanya, sebanyak 18 projek air sedang dilaksanakan di seluruh negeri termasuk Projek Empangan Air Tawau, Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon 2 di Papar, dan Projek Menaiktaraf Muka Sauk Kabang yang dijangka siap tahun depan.
“Kerajaan Negeri bukan sahaja melaksanakan dan menyelenggara jalan negeri, malah bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan penyelenggaraan jalan persekutuan serta pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo berjalan mengikut jadual,”
katanya sambil menambah Fasa 1B projek itu kini giat dilaksanakan di bawah pentadbiran GRS. Beliau berkata, dalam sektor tenaga pula, Kerajaan Negeri mengambil langkah proaktif dengan memulakan Projek Empangan Hidro Ulu Padas di Tenom, manakala pembiayaan Projek Southern Link bernilai RM765 juta yang diumumkan Perdana Menteri akan menjamin kecekapan sistem tenaga di Pantai Timur Sabah.
“Kerajaan GRS merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas sokongan berterusan terhadap Sabah, termasuk dalam perjuangan menegakkan hak negeri sebagaimana termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.
Hajiji turut menegaskan kejayaan Sabah meneroka sektor minyak dan gas menerusi perjanjian Commercial Collaboration Agreement (CCA) bersama PETRONAS yang membuka ruang lebih besar kepada Sabah untuk terlibat secara langsung dalam rantaian industri tersebut.
“Berhentilah menjaja ubat janji yang hanya mengkhayalkan rakyat yang dahagakan Solusi. Jangan jadi seperti dukun politik – banyak jampi tapi tiada sembuhnya”, katanya.
Katanya, dengan perjanjian ini, Sabah tidak lagi hanya bergantung kepada royalti dan cukai jualan, tetapi turut menikmati hasil langsung, peluang pekerjaan serta limpahan ekonomi melalui penyertaan syarikat tempatan dalam industri minyak dan gas.
Beliau berkata, dakwaan pembangkang kononnya Kerajaan GRS gagal mentadbir negeri adalah tidak berasas dan sekadar usaha mengelirukan rakyat.
“Gagalkah kita dengan rekod dan pencapaian yang telah banyak kita capai? Gagalkah kita yang telah melakukan ikhtiar terbaik untuk rakyat Sabah?” katanya.
Menurut Hajiji, antara pencapaian besar lain ialah kejayaan Kerajaan GRS menyerahkan puluhan ribu ekar geran tanah kepada penduduk melalui program PANTAS serta mewartakan berpuluh-puluh kampung sebagai rezab kampung di seluruh negeri.
Beliau berkata, pihak pembangkang sebaliknya gagal mentadbir dengan baik ketika berkuasa dan kini menabur janji tidak masuk akal termasuk kononnya mampu menyelesaikan isu air dalam setahun dan melahirkan 50,000 jurutera dalam masa singkat.
“Rakyat kini semakin bijak menilai siapa yang benar-benar mampu mentadbir dan siapa yang hanya mampu menabur retorik dan janji politik.