
KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) perlu meneruskan kerjasama strategik dengan Pakatan Harapan Plus (PHPlus) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, meskipun Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di peringkat pusat telah memuktamadkan kerjasama mereka, kata aktivis politik pro-GRS, Aksyah Nasrah.
Katanya, kerjasama GRS dan PH Plus di Sabah mempunyai keistimewaan tersendiri kerana GRS merupakan parti dominan dan berperanan sebagai “Tuan Rumah” dalam gabungan tersebut.
“GRS akan bertanding lebih dua pertiga daripada jumlah kerusi DUN Sabah, menjadikannya kuasa dominan walaupun tidak bergerak secara solo. Obor ‘Sabah for Sabahan’ akan terus menyala kerana GRS kekal sebagai parti tonggak dalam pemerintahan negeri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, jika calon-calon GRS menang sekurang-kurangnya 37 daripada kira-kira 55 kerusi yang dijangka ditandingi, gabungan itu sudah mampu membentuk kerajaan dengan majoriti mudah tanpa kehadiran PH Plus.
Namun katanya, Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor mengutamakan kestabilan politik berteraskan kejujuran dan keikhlasan dalam kerjasama.
“Kerjasama PH Plus akan memperkukuh kekuatan GRS, terutama di kerusi yang ditandingi mereka. Dalam situasi politik semasa, bukan gerakan solo yang akan menentukan kemenangan.
“Sejarah membuktikan parti yang bertanding bersendirian biasanya tewas teruk dan kehilangan wang deposit,” kata Bekas Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sabah.
Mengulas kemungkinan berlaku pertembungan antara GRS dan BN, Aksyah berkata banyak faktor lain akan menjadi penentu.
Beliau turut menyifatkan kedudukan PH ketika ini seolah-olah berada dalam dilema politik “cinta tiga segi” – bekerjasama dengan GRS di Sabah, namun pada masa sama terikat dengan BN di peringkat nasional.
“Ini memberi kedudukan unik kepada PH di Sabah, tetapi bukanlah keutamaan bagi ahli GRS untuk mempersoalkannya. Fokus kita adalah memperkukuh jentera, mentaliti menang dan solidariti antara parti komponen GRS,” katanya.
Beliau turut menyifatkan kehadiran besar ahli dalam Persidangan Agung Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) baru-baru ini sebagai petunjuk jelas kekuatan sebenar GRS di peringkat akar umbi.
“Bayangkan kekuatan sebenar jika semua komponen GRS bergabung secara padu dan kerjasama dengan PH Plus diperkukuh. Ini akan menjadikan GRS sukar dicabar dalam PRN akan datang,” katanya.
Aksyah turut mengingatkan semua ahli supaya taat kepada keputusan pimpinan dan fokus kepada matlamat utama – mencapai kemenangan demi kestabilan dan kemajuan Sabah.