PUTATAN: Empat teras utama GRS dalam temasya demokrasi PRU DU Negeri kali ini amat bersesuaian dengan konteks pembangunan dan peningkatan tahap sosial rakyat Sabah.
Calon GRS Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya (SAY) berkata, kesinambungan empat teras yakni Sabah First, Sabah Foward, Sabah Prosper dan Sabah United itu mampu menjadi ramuan yang diyakini oleh para pengundi.
Jelas beliau, ia sekaligus memperlihatkan keperihatinan Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor dan pucuk pimpinan lain lebih menawarkan elemen yang menepati citarasa masyarakat setempat serta menambah nilai prestasi kerajaan sebelum ini yang ditadbir oleh GRS.
“Oleh itu, sudah tentu melihat konteks empat teras utama berkenaan, GRS wajar diberi kredit kerana menyajikan tawaran lebih relevan kepada para pengundi.
“Begitu juga dengan pengundi di DUN Tanjung Keramat ini, ianya juga dilihat sinonim dengan teras-teras tersebut.
“Ini bahkan bersesuaian dengan tiga aspirasi yang saya bawa bagi DUN ini iaitu aspirasi meningkatkan kualiti hidup masyarakat, aspirasi membangunkan sumber manusia berasaskan ilmu dan memperkasa belia lestari, “katanya.
Beliau berkata demikian selepas program walkabout dan ziarah komuniti di Taman Pantai Lok Kawi, di sini, hari ini.
Hadir sama adalah Ketua Bahagian PGRS Tanjung Keramat, Ummar Ariff Abu Bakar dan rombongan jentera GRS Tanjung Keramat.
Sementara itu, mengulas mengenai program-program berkenaan, Shah Alfie mendedahkan ianya merupakan satu pendekatan terbaik pihaknya lebih mengenali para pengundi.
Tambahnya, meskipun terikat dengan jadual kempen yang padat, namun demikian usaha tersebut dilihat menjadi tunjang utama mendekati mereka selain mempromosikan aspirasi GRS ke peringkat akar umbi.
“Ya, satu pendekatan yang amat efisyen selain dapat mengenali mereka secara lebih rapat lagi.
“Berbekalkan pengalaman sebagai Pegawai Khas Parlimen Putatan dan DUN Tanjung Keramat dahulu, ianya amat memainkan peranan untuk saya dan jentera lebih bergerak secara efisyen menyantuni para pengundi di sini, “katanya.
