
KOTA KINABALU: Penubuhan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bukan hasil perpecahan politik, sebaliknya lahir daripada kesedaran dan keinsafan pemimpin Sabah untuk bangkit berdiri di atas kaki sendiri — tanpa terus “diikat hidung” oleh kuasa luar.
Aktivis Politik Pro-GRS, Aksyah Haji Nasrah, menegaskan bahawa langkah Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menubuhkan GRS adalah satu tindakan berani demi memartabatkan politik Sabah di bawah payung besar parti tempatan.
“GRS ditubuhkan kerana kesedaran bahawa pemimpin Sabah perlu bersatu padu di bawah satu gabungan tempatan agar tidak lagi dikawal atau ditentukan oleh parti luar,” katanya di sini, hari ini.
Menurut Aksyah, sejarah politik Sabah telah banyak memberi pengajaran, khususnya peristiwa lompat parti pada tahun 1994 yang mengubah landskap kepimpinan negeri.
Katanya, tindakan seorang wakil rakyat Parti Bersatu Sabah (PBS) melompat ke Barisan Nasional (BN) ketika itu telah menjadikan BN kerajaan Sabah yang didominasi UMNO sehingga tahun 2018 — sekali gus mencetuskan budaya politik tidak sihat yang terus menghantui negeri itu hingga kini.
“Dari situlah bermula era ‘katak’. Dan jangan lupa, parti Warisan juga pernah merasai nikmat menjadi kerajaan hasil daripada lompatan wakil rakyat,” katanya.
Beliau menambah, rakyat tidak seharusnya melupakan hakikat bahawa kerajaan Warisan terbentuk hasil tindakan beberapa wakil rakyat BN yang berpaling tadah pada 2018, dan kerajaan itu hanya bertahan selama 26 bulan.
“Jika tidak kerana lompatan itu, Warisan tidak akan sempat menjadi kerajaan. Sayangnya, dalam tempoh singkat itu, Sabah banyak terkesan dengan dasar yang tidak menentu, ibarat kera mendapat bunga! ,” ujarnya sinis.
Mengulas dakwaan pemimpin BN dan Warisan yang melabel GRS sebagai parti “patak-patak” (lompat-lompat), Aksyah menegaskan tuduhan itu tidak berasas kerana kerajaan di peringkat Persekutuan sendiri turut disokong hasil tindakan politik serupa.
“Kalau itu jadi ukuran, Kerajaan Madani juga semakin kukuh hasil sokongan daripada beberapa pemimpin PN. Jadi janganlah mengata dulang, paku serpih,” katanya.
Beliau menyeru semua pihak agar berhenti menabur persepsi negatif dan sebaliknya mencerminkan diri serta menghentikan budaya menyesatkan rakyat.
Dalam pada itu, Aksyah menzahirkan keyakinan bahawa jentera GRS kini berada pada landasan terbaik menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Sabah akan datang.
“Jentera sudah dilancarkan dan kembali ke kawasan masing-masing untuk membuat persiapan akhir. PRU Sabah kali ini, kita buktikan GRS akan membentuk kerajaan yang lebih kuat dan gagah perkasa,” katanya.
Beliau menegaskan, keyakinan dan kesetiaankawan dalam GRS menjadi pemangkin perpaduan dalam kalangan ahli yang akan memastikan gabungan itu terus kukuh sebagai pilihan rakyat Sabah.