KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) disifatkan sebagai ‘helang’ yang terus terbang tinggi tanpa tergugat oleh serangan politik pihak lawan, kata aktivis politik Pro-GRS, Aksyah Haji Nasrah.
Beliau berkata, perbandingan itu menggambarkan keteguhan dan fokus kepimpinan GRS di bawah pimpinan, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, yang terus membawa hala tuju pembangunan mampan untuk rakyat Sabah.
Menurutnya, helang adalah burung yang memiliki sifat dominan, tinggi martabat dan mampu terbang jauh melepasi gangguan. Sebaliknya, gagak sering dikaitkan sebagai burung pembawa sial dan hanya mengganggu tetapi tidak mampu menjatuhkan helang.
“Dalam dunia burung, satu-satunya yang berani mematuk helang ialah gagak. Gagak akan ikut dan menggigit, tetapi helang tidak pernah membalas. Ia hanya terbang lebih tinggi sehingga gagak sendiri sukar bernafas dan akhirnya jatuh,” katanya dalam
dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau menegaskan bahawa analogi itu melambangkan keadaan politik semasa, apabila GRS memilih untuk kekal fokus dan tidak melayan politik negatif pihak tertentu.
Aksyah menambah, kepimpinan Hajiji telah membawa pelbagai pembaharuan dan pendekatan yang menjadikan GRS sebuah gabungan yang stabil, cohesif dan relevan untuk masa depan rakyat Sabah.
“Saya yakin gelombang sokongan terhadap GRS ketika ini akan mengangkat rakyat Sabah terbang lebih tinggi untuk mencapai impian yang terkandung dalam Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ). Kita sedang menuju Fasa seterusnya — SMJ 2.0,” katanya.
Beliau mengingatkan bahawa hanya berbaki 3 hari sebelum rakyat menentukan kerajaan yang mereka mahukan pada hari pengundian, dan berharap pengundi awal hari ini dapat melonjakkan lagi momentum sokongan kepada GRS.
“Saya menyeru rakyat agar istiqamah bersama GRS demi mengekalkan kestabilan dan memastikan lebih banyak kejayaan dapat dicipta,” katanya sambil menegaskan bahawa masa depan terbaik untuk Sabah terletak pada kesinambungan kepimpinan GRS.
