
KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bukanlah gabungan politik yang dibina atas janji kosong, sebaliknya atas iltizam politik yang kuat untuk memulihkan Sabah daripada kemelut politik, ekonomi dan sosial.
Mantan Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sabah, Aksyah Haji Nasrah berkata, setelah melihat siri jelajah ceramah pembangkang, jelas masih menggunakan pendekatan lama dengan menabur janji, sedangkan banyak janji semasa mereka berkuasa dahulu belum ditunaikan.
“Seingat saya, ketika Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menjadi poster boy PRN-16 lalu, beliau tidak banyak berjanji. Sebaliknya, beliau bersama pimpinan GRS mahu mengembalikan Sabah ke landasan yang betul selepas negeri ini berdepan kejatuhan politik, ekonomi dan sosial,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, langkah pertama yang dilakukan Hajiji selepas menerima mandat rakyat ialah memartabatkan kembali slogan “Sabah Maju Jaya” (SMJ) sebagai halatuju negeri. Di bawah kerangka SMJ, pelbagai dasar, projek dan mekanisme dilaksanakan secara sistematik sehingga berjaya merealisasikan 366 daripada 467 inisiatif yang ditetapkan, merangkumi sektor perindustrian, pertanian, pelancongan dan modal insan.
“Ini bersamaan 94 peratus pencapaian. Ia menunjukkan keberkesanan kerja kerajaan GRS yang berfokus kepada hasil, bukan sekadar retorik politik,” katanya.
Walaupun pencapaian itu jelas, Aksyah berkata, pembangkang masih mengulangi naratif “kerajaan gagal” dengan menonjolkan isu bekalan air, elektrik dan jalan raya, walaupun isu tersebut sudah berakar umbi sejak zaman pemerintahan mereka sendiri dan diwarisi oleh kerajaan kini.
“Era Hajiji ialah zaman masalah ini mula diselesaikan secara tuntas. Projek Loji Rawatan Air dan Empangan Hidro Ulu Padas akan mengatasi krisis air dan elektrik dalam tempoh satu hingga tiga tahun, manakala projek Pan Borneo yang sekian lama tertangguh kini mula dilaksanakan selepas kontraktor dilantik pada Oktober 2024,” jelasnya.
Aksyah berkata, walaupun Sabah mewarisi keadaan ekonomi terburuk semasa PRN-16 di tengah puncak pandemik Covid-19, kerajaan pimpinan Hajiji berjaya membawa perubahan positif dalam tempoh setahun.
Pertumbuhan ekonomi kembali positif, hasil negeri meningkat konsisten dan rizab simpanan kukuh sehingga mencecah RM8 bilion.
“Keikhlasan dan iltizam politik yang kuat menjadi pemangkin kejayaan ini. Malah, Sabah turut memperkenalkan Dasar Ekonomi Biru bagi memanfaatkan hasil laut negeri, sekali gus memperkukuh Wawasan SMJ,” katanya.
Menurutnya, kedudukan kewangan kukuh membolehkan kerajaan memperluas manfaat langsung kepada rakyat. Ini termasuk subsidi pendidikan tinggi kepada penuntut IPTA/IPTS, cadangan pengajian percuma di universiti milik negeri, pemberian Rumah Sejahtera SMJ kepada anak muda di setiap DUN, serta skim insurans rakyat tanpa mengira latar politik.
“Seramai 100,000 rakyat juga menerima bantuan tunai SYUKUR sebanyak RM300 sebulan selama setahun. Semua ini membuktikan kerajaan GRS-PH Plus benar-benar menyalurkan hasil negeri untuk kesejahteraan rakyat,” ujarnya.
Aksyah menegaskan, antara faktor utama kejayaan pentadbiran Hajiji ialah kerana Sabah kini dipimpin oleh parti tempatan sebagai tonggak kerajaan negeri.
“Kebijaksanaan berpolitik Hajiji juga memperkukuh jambatan kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan, sekali gus mempercepat pelaksanaan projek pembangunan serta usaha menuntut hak negeri dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.
Beliau turut menolak keras tuduhan rasuah dan skandal yang cuba dikaitkan dengan Hajiji, termasuk fitnah membabitkan nama ahli perniagaan Albert Tei.
“Tidak ada satu sen pun duit diterima, tiada lesen tanah dan mineral diluluskan oleh Hajiji. Semua ini hanyalah percubaan membunuh reputasi beliau,” katanya.
Justeru, rakyat Sabah, katanya, tidak perlu terpengaruh dengan slogan politik kosong seperti “New Deal”, “Selamatkan Sabah” atau “Kasi Bagus Sabah” yang sekadar mainan retorik pembangkang.
Aksyah yakin rekod pentadbiran GRS sudah cukup untuk rakyat menilai kecekapan kepimpinan Hajiji.
“Rakyat tidak perlukan parti yang hanya pandai berceramah dan menabur janji, sebaliknya kerajaan yang telus, komited dan bersistem. Untuk itu, mandat baharu dan besar perlu diberikan kepada GRS-PHPlus pada PRN-17 nanti.
“Ringkasnya, GRS dibina bukan atas janji atau fitnah, tetapi atas iltizam politik yang kuat demi rakyat dan negeri Sabah – kurang bercakap, lebih bekerja,” tegasnya.