
PITAS: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersikap terbuka terhadap parti komponennya yang mahu meninggalkan gabungan itu kerana memilih untuk bertanding secara solo pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, GRS tidak mendesak parti komponennya untuk meninggalkan GRS, namun jika mahu bertanding solo, terserah kepada parti terbabit untuk membuat keputusan.
Beliau yang juga Pengerusi GRS menyatakan keyakinannya terhadap kekuatan GRS berdasarkan kerjasama baik dalam kalangan parti komponennya, selain sokongan kuat rakyat terhadap gabungan itu.
“InsyaAllah kita akan menang pada pilihan raya nanti. Kita bersama rakan-rakan komponen lain terutama sekali Parti Bersatu Sabah (PBS) masih kukuh dan insyaAllah GRS terus kekal sebagai gabungan yang kuat dan mantap di Sabah.
“Kita mahu teruskan perjuangan ini kerana kita baru separuh jalan,” katanya ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Perumahan dan Kedai Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar Sabah (LPPB) Kampung Taka di perkarangan Dewan Masyarakat Daerah Pitas, di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, Hajiji berkata pelaksanaan agenda pembangunan di bawah dasar Hala Tuju Sabah SMJ sejak hampir lima tahun lalu adalah bukti nyata keupayaan kerajaan negeri memulihkan ekonomi dan memperkukuh kesejahteraan rakyat Sabah.
Jelasnya, mandat yang diberikan rakyat sejak September 2020 tidak disia-siakan, sebaliknya diterjemahkan melalui pelaksanaan SMJ. Walaupun berdepan pelbagai cabaran dan sindiran, kepimpinan kerajaan tetap teguh melaksanakan amanah rakyat. SMJ bukan sekadar slogan, ia satu pelan bertindak yang telah menampakkan hasil.