
KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terbukti berbeza berbanding parti lain kerana sentiasa meraikan kepelbagaian etnik sebagai asas utama dalam mengukuhkan perpaduan dan kestabilan politik negeri ini.
Mantan Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sabah, Aksyah Haji Nasrah, berkata Sabah yang memiliki 33 suku etnik utama sememangnya menjadi cerminan masyarakat majmuk Malaysia, sekali gus memerlukan pendekatan politik yang matang dan berhati-hati bagi mengekalkan keharmonian.
“Perpaduan rakyat Sabah melalui ikatan harmoni antara kumpulan etnik inilah misi utama mengapa GRS ditubuhkan. Bukan sekadar menyatukan pemimpin dan parti, tetapi yang lebih penting ialah menyatukan rakyat berbilang etnik di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Aksyah menegaskan, semangat Sabahan yang berteraskan hormat-menghormati antara etnik sentiasa dipelihara dalam kepimpinan GRS di bawah Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Beliau berkata, meskipun Hajiji berasal daripada etnik Bajau-Samah di Tuaran, sikapnya yang prihatin dan meraikan semua etnik membuktikan kepimpinan negeri mampu berdiri di atas semangat kebersamaan.
“Pendekatan ini jelas berbeza dengan sesetengah pihak yang pernah menyentuh sensitiviti etnik secara tidak wajar hingga menimbulkan keresahan masyarakat,” katanya, merujuk kontroversi kenyataan Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal, baru-baru ini yang terlepas cakap dan tersilap menggunakan terma “Kafir” kepada etnik Murut.
Menurut Aksyah, sikap meraikan kepelbagaian etnik itu turut dizahirkan dalam pentadbiran negeri apabila Hajiji mengambil langkah berani melantik pegawai kerajaan serta pemimpin korporat tanpa mengira latar belakang etnik.
“Yang menjadi keutamaan ialah kelayakan, kemampuan dan kemahiran individu, bukan asal-usul atau kelompok tertentu. Inilah cara pentadbiran inklusif yang menjadi kunci kepada kejayaan Wawasan Sabah Maju Jaya,” jelasnya.
Katanya, GRS berjaya menamatkan budaya politik lama yang dipenuhi unsur dendam serta kecenderungan melantik hanya mengikut daerah atau kelompok tertentu.
“Hakikatnya, Hajiji telah membuktikan kepimpinan yang kurang ‘politiking’ tetapi lebih menekankan pembangunan dan kemajuan rakyat. Sudah cukuplah rakyat Sabah menjadi mangsa kepada politik yang membahagi-bahagikan masyarakat,” tegasnya.
Aksyah menambah, penggunaan istilah “Rakyat” dalam nama GRS sendiri mencerminkan asas perjuangan gabungan itu yang berpaksikan rakyat, bukan parti.
“Jika rakyat Sabah benar-benar mahukan keharmonian dan kestabilan politik berterusan, GRS adalah pilihan tepat yang telah membuktikan aspirasi tersebut,” katanya.