LAHAD DATU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan memberi saingan yang hebat pada Pilihan Raya Umum(PRU) Sabah ke-17 ini.
Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Silam, Datuk Mizma Appehdullah berkata, GRS kini sentiasa meniti di bibir rakyat.
Katanya, gerakan yang dilaksanakan oleh jentera di peringkat akar umbi menunjukkan sokongan padu kepada GRS.
“GRS Silam kini sedang giat bekerja sebagai tanda komitmen terhadap parti dan mengukuhkan parti.
“Selaku Ketua Bahagian, saya tekankan kepada ahli mengenai tanggungjawab demi memastikan kemenangan parti,” katanya.
Menurut Mizma yang juga Ketua Wanita GRS Zon 6B, beliau juga menekankan kepada rakyat kepentingan memilih parti yang betul-betul bekerja untuk mereka.
Jelasnya, rakyat sendiri mengakui bahawa kerajaan negeri yang diterajui oleh GRS membawa banyak manfaat kepada rakyat dan mereka merasai pembangunan negeri yang semakin rancak.
Rakyat juga mengakui bahawa usaha kerajaan dalam merealisasikan Hala Tuju Pembangunan Sabah Maju Jaya bukan sahaja membangun ekonomi Sabah, tetapi juga mensejahterakan rakyat.
“Justeru itu, saya tekankan kepada mereka untuk terus memilih GRS agar segala usaha membangun negeri dan mensejahterakan rakyat dapat dilaksanakan,” jelasnya.
Menurut Mizma, beliau cakna dengan pelbagai khabar angin berkaitan calon yang bakal bertanding pada PRN nanti.
Mizma berkata, ini bukan masa untuk memikirkan soal calon, namun masa untuk menjalankan tanggungjawab sebagai Ketua Bahagian dan ahli parti demi memastikan kemenangan parti.
“Soal calon dan kawasan, kita serahkan kepada pucuk pimpinan. Saya yakin Presiden kita, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor bersama pucuk pimpinan lain membuat keputusan yang terbaik untuk parti,” tambahnya.
