
PAPAR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang, Datuk Sri Haji Ghulam Haidarkhan Bahadar, turun padang meninjau beberapa kawasan yang terjejas banjir kilat di daerah ini semalam.
Antara lokasi yang dilawati ialah Kampung Pengalat Besar, Kampung Beringis dan Kampung Kinarut yang terjejas akibat limpahan air susulan hujan lebat berterusan sejak kelmarin.
Dalam lawatan itu, Ghulam bukan sahaja menerima taklimat dan mendengar keluhan penduduk, malah turut meredah banjir untuk menziarahi rumah keluarga mangsa.
Beliau menzahirkan harapan agar semua penduduk terjejas kekal tabah menghadapi dugaan ini.
“Saya berharap mangsa terus bersabar dan mengutamakan keselamatan diri serta keluarga sepanjang tempoh bencana ini,” katanya.
Turut sama mengiringi beliau ialah Setiausaha Sulit Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Roslie Ibrahim; Pengarah IKRAR Sabah, Azrul Ibrahim; Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Fahzeen Mohiddin serta beberapa pemimpin masyarakat setempat.
Sementara itu, seorang penduduk, Nordin Jikor, menyifatkan wakil rakyat Kawang itu sebagai pemimpin berjiwa rakyat yang sentiasa bersama masyarakat tanpa mengira waktu atau situasi.
“Beliau memang dikenali sebagai ‘Jomo Bioso’. Tidak kira banjir, kebakaran, kematian mahupun kenduri, Ghulam pasti hadir. Beliau bergaul tanpa mengira bangsa, agama atau fahaman politik, sebab itu beliau sangat dekat di hati kami,” katanya.
Daerah Papar kini diisytiharkan sebagai kawasan bencana oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD), bersama beberapa daerah lain.