
KOTA KINABALU: Bendahari Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Datuk Seri Ghulam Haidar Khan Bahadar berjaya membangkitkan semangat perwakilan ketika membentangkan laporan kewangan, pada perhimpunan agung parti itu di sini semalam.
Dalam ucapannya, Ghulam mengajak ahli parti untuk terus bangkit dan melangkah ke hadapan demi masa depan rakyat dan negeri Sabah.
Beliau menegaskan bahawa Gagasan Rakyat satu-satunya nadi perjuangan rakyat yang berpasak di bumi Sabah.
“Dalam menghadapi gelanggang pilihan raya tidak lama lagi, marilah kita terus kibarkan panji-panji perjuangan,” katanya.
Beliau memulakan mukadimah ucapan dengan tiga pantun penghargaan kepada kepimpinan parti, berbunyi:-
“Nelayan pulang ke jeti Tuaran, membawa ikan di dalam sampan; Pemimpin hebat dari Sulaman, tulus berkhidmat tanpa keluhan.”
“Air mengalir di Sungai Papar, jernih bersih tidak tercemar; Gagasan Rakyat semakin mekar, tempat rakyat untuk bersandar.”
“Pantai Membakut ombak berlagu, menjadi ilham membangun desa; Gagasan Rakyat `tatap’ berjiwa padu, menjulang Sabah mengangkat bangsa.”
Dalam ucapan penuh bersemangat itu, Ghulam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang turut menyatakan pendirian seluruh ahli parti berdiri teguh di belakang kepemimpinan Ketua Menteri merangkap Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Panglima Hj Hajiji Hj Noor.
“Kepada Presidenm teruslah memimpin kami dengan hikmah, membangun negeri dengan istiqomah, menuju Sabah Maju Jaya.
“Jangan gentar dan mundur, biar ada api dan duri. Demi rakyat, dan demi negeri tercinta, teruslah memimpin kami sampai bila-bila,” katanya.
Beliau berkata Hajiji bukan sahaja berjaya menstabilkan politik Sabah, bahkan telah mengangkat martabat negeri ini ke satu tahap baharu dari sudut pembangunan dan ekonomi.
Katanya,. di bawah kepimpinan beliau, Sabah mengalami transformasi yang nyata dengan asar pembangunan yang inklusif, pelaburan yang bertambah, serta ekonomi Sabah yang terus membugar.
“Inilah bukti bahawa Gagasan Rakyat sebagai tunjang utama kerajaan GRS, bukan sekadar sebuah parti politik, tetapi sebenarnya sebuah gerakan rakyat yang benar-benar membawa perubahan,” katanya.
Menurutnya, si sebalik serangan peribadi yang bertubi-tubi dan gelombang fitnah yang terus disebarkan, Presiden tetap sabar dan tenang, serta terus bekerja demi rakyat.
“Beliau (Hajiji) terus menyulam harapan rakyat menjadi dasar perjuangan parti. Inilah pemimpin yang sukar dicari ganti – hadir tepat di saat negeri memerlukan sinaran cahaya kepimpinan,” katanya, sambil merujuk sebuah buku bertajuk `Hanya Satu Hajiji, The One And Only’.
Ghulam sekali lagi membakar semangat perwakilan apabila mengungkapkan ucapannya secara puitis
“Di rumah ini, kita bertapak, di bumi Sabah, kita berjanji; demi maruah, dan demi rakyat; Gagasan Rakyat akan terus berarak.
“Bersama Presiden, kami teguh berdiri; pimpinan tekad ikhlas di hati; saf dirapatkan menuju ke medan pilihan raya; demi negeri, kita GASAK mantapkan parti.
“Laksana ayam sabung merah bertaji; gagah berkokok di subuh hari; bertuahnya negeri punya pemimpin bernama DSP Hajiji; tabah berdiri tiada menyepi, hati sejati; berbudi pekerti, berjuang tanpa henti; mengabdi pada seluruh jajaran parti; semoga di bawah pimpinannya, Sabah terus diberkati; dan seluruh rakyat dilindungi dan dirahmati.”
Deasoka