LAHAD DATU : Seekor gajah liar betina dewasa ditemukan mati selepas dipercayai terjatuh ke dalam lubang bawah tanah tangki kumbahan lama di kawasan Danum Valley Field Centre (DVFC), di sini, baru-baru ini.
Menurut laporan polis, kejadian itu dimaklumkan kepada Jabatan Hidupan Liar (JHL) Cawangan Lahad Datu pada malam 31 Oktober 2025 oleh pegawai konservasi dan penyelidik di pusat tersebut.
Pasukan JHL yang tiba di lokasi mendapati gajah berkenaan masih hidup ketika awal usaha menyelamat dilakukan namun operasi tidak dapat diteruskan kerana kehadiran sekumpulan gajah liar lain di kawasan berhampiran.
Bagaimanapun, hasil pemantauan semula pada jam 1 tengah hari, 1 November, mendapati haiwan itu telah mati.
Pemeriksaan fizikal mendapati tiada kesan luka atau tanda jenayah pada tubuh gajah berkenaan.
Proses pengebumian bangkai haiwan tersebut dijalankan atas arahan Pegawai Hidupan Liar Daerah Lahad Datu bermula jam 5.15 petang dan selesai sekitar 6.40 petang di kawasan DVFC mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) JHL.
Siasatan awal mendapati kematian berpunca daripada struktur lubang kumbahan lama yang tidak ditutup sepenuhnya, menyebabkan risiko kepada hidupan liar di kawasan konservasi berkenaan.
Kejadian ini merupakan insiden pertama pada tahun 2025 melibatkan kematian gajah di kawasan Danum Valley.
Kes diklasifikasikan sebagai Rujuk Kepada Lain Jabatan (ROA) dan diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar Sabah untuk tindakan lanjut.
