
KUALA PENYU: Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Kuala Penyu, Jepinus Kamuin, menempelak keras laporan palsu laman blog malaysiahotmy.blogspot.com yang mendakwa penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Penyu, Datuk Limus Jury, bakal keluar Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Menurutnya, laporan itu bukan sahaja tidak berasas dan berniat jahat, malah jelas merupakan gerakan propaganda kotor pembangkang yang semakin terdesak menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17.
“Artikel itu bukan sekadar fitnah biasa — ia adalah serangan terancang pembangkang yang sudah mula panik dengan sokongan rakyat terhadap Limus di Kuala Penyu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, pembangkang kini kehabisan modal politik dan cuba menimbulkan persepsi negatif terhadap kepimpinan GRS selepas gagal menawarkan sebarang dasar pembangunan yang meyakinkan rakyat.
“Mereka tahu pengaruh Limus di Kuala Penyu terlalu kuat untuk digugat. Jadi jalan paling mudah bagi mereka ialah menabur fitnah dan menghasut rakyat dengan cerita rekaan,” ujarnya.
Jepinus turut menyifatkan tindakan menyebarkan berita palsu itu sebagai usaha terdesak untuk menggugat kestabilan kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, dan melemahkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan negeri.
“Ini taktik lama pembangkang — cipta kekeliruan, sebar fitnah, kemudian tuduh orang lain tidak stabil. Tapi rakyat Sabah bukan bodoh. Mereka tahu siapa yang bekerja untuk negeri, dan siapa yang cuma pandai bercakap di media sosial,” katanya sinis.
Beliau menegaskan bahawa Limus kekal setia bersama GRS dan Gagasan Rakyat, serta terus komited membantu merealisasikan dasar pembangunan negeri di bawah teras Sabah Maju Jaya (SMJ).
Menurut Jepinus, Limus bukan pemimpin yang bermain politik waktu sempit, sebaliknya sentiasa turun padang mendengar masalah rakyat, menyalurkan bantuan dan memperjuangkan projek-projek pembangunan luar bandar.
“Selama ini, beliau konsisten memperjuangkan isu infrastruktur, pendidikan dan peluang ekonomi di Kuala Penyu. Pembangkang hanya tahu mengkritik di media sosial, tapi bila rakyat perlukan pertolongan, mereka tidak kelihatan,” katanya.
Beliau menambah, bahawa pembangkang seharusnya berlawan secara sihat, bukan dengan menabur fitnah dan menjatuhkan reputasi pemimpin yang berkhidmat.
Jepinus memberi amaran keras kepada pihak yang menyebarkan berita palsu supaya berhenti mencetuskan kebencian dan perpecahan dalam kalangan rakyat.
“Kami tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana individu atau portal yang terus menyebar fitnah terhadap Limus. Rakyat Kuala Penyu sudah muak dengan politik kotor gaya pembangkang,” tegasnya.
“Kalau pembangkang fikir mereka boleh menang dengan menipu rakyat, mereka silap besar. Kuala Penyu bukan gelanggang untuk politik putar belit,” tambahnya dengan nada tegas.
Dalam pada itu, Jepinus turut mendesak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk segera menyiasat dan mengambil tindakan terhadap individu serta laman sesawang yang menyebarkan berita palsu dan fitnah berkaitan Limus.
“SKMM perlu bertindak tegas. Jangan biarkan laman fitnah seperti malaysiahotmy terus menabur racun dalam masyarakat. Tindakan segera penting bagi memastikan media sosial tidak disalahguna untuk tujuan politik jahat,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa Gagasan Rakyat Kuala Penyu akan terus memantau perkembangan ini dan bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi memastikan politik Sabah kekal bersih, matang dan berteraskan fakta, bukan fitnah.