
TUARAN: Ketua Bahagian UMNO Tuaran, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menyifatkan gabungan antara parti politik nasional dan tempatan merupakan satu ramuan terbaik dalam memastikan pelaksnaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) terus lancar.
Beliau berkata, ini berikutan Sabah berpotensi berdepan dengan risiko implementasi sekiranya ketidakseimbangan berlaku terutamanya di peringkat pemahaman dan kerjasama politik.
“Dalam pilihan raya ini, saya berpandangan gabungan parti tempatan dan parti nasional adalah yang terbaik untuk memastikan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) berjalan lancar.
“Isu kompromi dengan parti nasional tidak timbul kerana MA63 sudah menjadi perbincangan umum di seluruh Malaysia.
“Sekarang isu utama ialah implementasi. Jika kita silap langkah di Sabah, kita mungkin berdepan kerajaan negeri yang tidak mempunyai hubungan baik dengan kerajaan pusat, yang menjadi rakan pelaksana MA63, “katanya.
Beliau berkata demikian selepas mesyuarat perwakilan tahunan UMNO Tuaran yang dirasmikan oleh Pengerusi UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi di Dewan Serbaguna Sulaman, Tuaran, hari ini.
Tambah Abdul Rahman, pihaknya berharap semua parti politik di Sabah memikirkan masa depan rakyat dan negeri.
“Fasa implementasi MA63 menuntut kerjasama, bukan tunduk kepada kerajaan pusat.
“Semangat MA63 sudah terbuka dan tidak boleh dipadamkan lagi, “katanya.