
Kota Kinabalu: Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan keputusan gabungan bersama PH Sabah untuk menghadapi PRN Sabah akan datang bukanlah dilakukan secara terburu-buru.
Beliau berkata, perbincangan hala tuju antara keduanya, GRS dan PH Sabah telah dibincang secara terbuka sebelum ini.
“Kita telah menyatakan pendirian kerajaan negeri dan perbincangan mesyuarat itu amat positif sekali.
“Jadi sekarang ini, ia sedang diperhalusi lagi perkara-perkara yang berkaitan dan ianya amat baik untuk negeri Sabah, “katanya.
Mengulas lanjut, Ketua Menteri Sabah itu turut menolak dakwaan bahawa perkara tersebut dilakukan secara terburu-buru dan dan tidak dilakukan sewenang-wenangnya oleh mana-mana pihak.
Beliau pada masa sama menepis dakwaan bahawa keputusan gabungan GRS dan PH Sabah itu tanpa berunding dengan parti komponen yang lain.
“Saya panggil nanti, mana saya boleh sekarang belum lagi.
“Kita sudah berbincang di GRS oleh Presiden parti, jadi orang cakap jangan kamu terlampu dengar, politik di Sabah ini terlampu banyak orang bijak politik, “katanya.
Hajiji berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dengan Petco Trading Labuan Company Ltd serta Memorandum Perjanjian (MoA) antara DBKK dan Alpha Ocean Resources Berhad (AORB), di Pacific Sutera Harbour pada Rabu.
Terdahulu, dalam Perhimpunan Agung Tahunan PGRS Kota Kinabalu pada Ahad lalu, Hajiji yang juga Presiden parti berkenaan secara terbuka menjelaskan pendirian GRS untuk bergabung bersama PH Sabah bagi menghadapi PRN Sabah akan datang.
Bagaimanapun, semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pula mendedahkan bahawa pakatan BN dan PH Sabah sudah ‘berkunci’ untuk menghadapi pilihan raya di negeri ini.