
Sandakan : Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh menafikan dakwaan wujudnya perpecahan atau rasa tidak puas hati dalam kalangan kepimpinan parti di Sabah menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang semakin hampir.
Beliau menjelaskan, kenyataan yang tular baru-baru ini hanya melibatkan segelintir individu dan tidak menggambarkan sentimen sebenar kepimpinan serta ahli di peringkat akar umbi.
Menurut Fuziah, hasil pertemuan dengan semua ketua cabang di Sabah menunjukkan komitmen mereka kekal teguh dan bersatu bagi memastikan kemenangan PKR dalam PRN akan datang.
“Selepas saya berjumpa dengan ketua-ketua cabang, sebenarnya mungkin ada sedikit salah faham. Namun selepas pertemuan itu, mereka berpuas hati dan semua bersetuju mahu memenangkan parti. Semangat untuk memastikan parti yang dipimpin oleh Perdana Menteri menang sebanyak mungkin kerusi jauh lebih besar,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas meninjau pelaksanaan Program Payung Rahmah di Mydin Hypermarket Sandakan semalam.
Fuziah turut menjelaskan bahawa jentera PKR di Sabah dikendalikan sepenuhnya oleh pasukan tempatan, manakala pimpinan pusat hanya membantu dari segi kemudahan dan sokongan logistik bagi melicinkan gerak kerja pilihan raya.
“Di setiap cabang dan di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri, jentera semuanya tempatan. Pimpinan pusat hanya datang untuk membantu. Contohnya, jika bilik gerakan memerlukan komputer atau mesin fotostat, kita bantu sediakan,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa peranan pimpinan pusat bukan untuk mengarah tetapi memperkukuh keupayaan jentera tempatan agar lebih bersedia menghadapi PRN.
Fuziah turut menyeru semua ahli parti supaya mengekalkan perpaduan dan fokus kepada usaha mendekati rakyat di setiap kawasan bagi memastikan kemenangan parti dalam pilihan raya nanti.