
Saya menafikan sekeras-kerasnya penyebaran tangkap layar perbualan WhatsApp yang tular kononnya melibatkan saya bersama beberapa individu lain. Fitnah jelik ini sengaja direka untuk memburukkan nama saya dan mencemar imej Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).
Berhubung perkara ini, satu laporan polis telah saya buat pada petang ini di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kota Kinabalu. Fitnah ini jelas berunsur politik kotor kerana individu yang sama juga sebelum ini menularkan isu serupa terhadap ADUN Kunak, Datuk Norazlinah Arif.
Selain itu, saya telah mengarahkan peguam saya untuk mengeluarkan Notis Tuntutan (Letter of Demand, LOD) kepada individu yang dikenali sebagai Atan (Tandiko Bin Dalusin, dengan nama akaun Facebook “Huzaifah Al-Likasi”) yang menjadi dalang utama penyebaran fitnah tersebut.
Menariknya, dalam siaran langsung yang dibuat tengah hari tadi oleh pemimpin pembangkang sendiri, iaitu Ketua Penerangan Parti Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman, turut mengakui bahawa tangkap layar WhatsApp yang ditularkan itu adalah palsu.
Beliau menyebut dengan jelas:
“When there’s action, there will always be a reaction, bila kau buat, orang akan membalas.
“Even yang si Atan kasi tunjuk ni pun, ini pun saya tahu ini tidak betul juga. Cuma mungkin disebarkan oleh apabila ada orang buat dan dorang kasi tunjuk bahawa apa yang dorang buat tu semua orang boleh buat, maka dibuatlah la ini.”
Kenyataan ini sendiri membuktikan bahawa fitnah yang disebarkan itu adalah rekaan semata-mata dan tiada kaitan dengan saya.
Saya ingin menegaskan bahawa politik harus berlandaskan hujah, fakta dan idea, bukannya fitnah dan manipulasi. Penyebaran fitnah sebegini bukan sahaja mencemar nama baik saya dan parti, malah berpotensi menimbulkan keresahan awam, khususnya apabila melibatkan isu sensitif seperti Justice for Zara.
Saya menyerahkan kepada pihak berkuasa termasuk PDRM dan SKMM untuk mengambil tindakan segera terhadap pihak-pihak yang terlibat.
Saya tegaskan sekali lagi, saya tidak pernah menghantar mesej yang ditularkan itu. Ia adalah fitnah yang direka dengan niat jahat untuk menjatuhkan saya dan mengganggu ketenteraman awam.
“Kebenaran tetap akan mengatasi kebatilan.”
Saya juga mengambil maklum berhubung himpunan Justice for Zara Qairina yang berlangsung di Tawau pada 31 Ogos lalu, sebagai tanda solidariti masyarakat terhadap kematian tragis adik Zara. Saya menghormati hak masyarakat untuk menyuarakan keprihatinan dan menuntut keadilan. Namun dalam masa yang sama, saya menyeru agar himpunan yang baik niatnya tidak dicemari dengan ucapan atau tindakan yang melampaui batas undang-undang.
Pihak polis telah pun bertindak berhubung insiden ucapan berunsur hasutan yang dilaporkan semasa perhimpunan tersebut, dan kita menghormati proses undang-undang yang sedang berjalan. Apa yang lebih utama sekarang adalah memastikan fokus masyarakat tidak teralih daripada matlamat sebenar: mencari kebenaran, keadilan, dan penyelesaian jangka panjang bagi keselamatan pelajar kita.