
SEMPORNA : Festival Seni dan Budaya Bajau Malaysia 2025 melabuhkan tirai dengan penuh meriah selepas berlangsung selama tiga hari bermula 29 hingga 31 Ogos di Dewan Belia Semporna, sekaligus mengangkat daerah ini sebagai pusat warisan Bajau di peringkat kebangsaan.
Acara anjuran Pertubuhan Kreatif Seni Bajau Semporna dengan sokongan Kementerian Perpaduan Negara, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Kerajaan Negeri Sabah itu menghimpunkan lebih 500 peserta dari sembilan negeri termasuk Sabah, Sarawak, Perak, Johor, Selangor, Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Pahang.
Majlis perasmian pembukaan pertandingan disempurnakan oleh Penolong Pegawai Daerah Samsiah Sadan mewakili Pegawai Daerah Semporna, Syazwan Datuk Haji Masood pada malam pertama, manakala majlis perasmian penutupan festival disempurnakan oleh Datuk Dr Sa’adilah Abdillah selaku wakil Gerakan Agenda Budaya Sama-Bajau Progresif Semporna.
“Festival ini membuktikan seni dan budaya mampu menyatukan masyarakat berbilang kaum serta memartabatkan Semporna sebagai pusat warisan Bajau di mata negara,” katanya dalam ucapan perasmian.
Antara acara yang dipertandingkan termasuk Tarian Etnik Perpaduan Malaysia, Busana Perpaduan Etnik Malaysia, Kulinari Etnik Malaysia, pertandingan mewarna kanak-kanak sempena Hari Kemerdekaan, nyanyian lagu patriotik serta tarian igal-igal. Festival turut diserikan dengan forum seni budaya, senaman budaya, kuiz interaktif, cabutan bertuah serta perarakan Hari Kemerdekaan di sekitar Semporna.
Kumpulan Budjang Aura Tanjak Hitam dari Sabah dinobatkan sebagai juara Tarian Etnik Perpaduan Malaysia, manakala Gandik Raisha dari Sabah muncul juara Kulinari Etnik Malaysia. Pertandingan Busana Perpaduan pula dimenangi Melsahara Haji Marsal dari Sarawak (kategori dewasa) dan Nur Qaila Nasuha Abdullah dari Selangor (kategori kanak-kanak).
Sebagai penghormatan, Anugerah Tokoh Warisan, Seni dan Budaya Malaysia 2025 diberikan kepada Tuan Haji Biskai Mastal dan Kumar Munju, manakala Anugerah Ikon Budaya diserahkan kepada Norijah Masmud.
Presiden Pertubuhan Kreatif Seni Bajau Semporna berkata, pihaknya menghargai sokongan kementerian, kerajaan negeri serta masyarakat yang menjayakan festival tersebut.
“Kami berusaha menyediakan hadiah, sijil dan selempang sebagai tanda penghargaan kepada semua peserta yang telah menyumbang masa dan tenaga,” katanya.
Datuk Dr Sa’adilah dalam ucapan penutupan pula menegaskan bahawa festival ini wajar dijadikan acara tahunan bertaraf kebangsaan kerana ia bukan sekadar persembahan budaya, tetapi wadah penyatuan dan warisan untuk generasi muda.
Dengan sambutan menggalakkan, Festival Seni & Budaya Bajau Malaysia dicadang dijadikan acara tahunan bermula 2026 bagi terus mengangkat Semporna sebagai pusat seni budaya berprestij negara.