
SEMPORNA : Penantian puluhan tahun penduduk Pulau Bum-Bum untuk akses pengangkutan lebih selamat bakal berakhir apabila perkhidmatan feri khas dijangka mula beroperasi tidak lama lagi.
Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Sulayaban, Datuk Abd Hajan Gurimbang berkata, perkhidmatan feri itu kini berada pada fasa akhir persiapan sebelum dilancarkan bagi memudahkan penduduk berulang-alik antara pulau dan pekan Semporna.
“Di bawah kerajaan GRS pimpinan Ketua Menteri Sabah, perkhidmatan feri ini diperkenalkan sebagai alternatif sementara menunggu jambatan Pulau Bum-Bum direalisasikan,” katanya selepas melakukan lawatan tapak dan mesyuarat bersama agensi berkaitan, hari ini.
Selama ini, ketiadaan laluan tetap memaksa penduduk bergantung kepada bot kecil, termasuk untuk membawa kenderaan dan barangan berat, sekali gus berisiko terhadap keselamatan.
Seorang pekerja swasta, Rosdi, berkata feri akan memberi lebih jaminan keselamatan berbanding bot kecil.
“Kalau guna bot kecil memang bahaya, jadi feri lebih baik dan lebih selamat,” katanya.
Bagi peniaga tempatan, Mahamod Bungsu, pengumuman ini melegakan selepas projek jambatan yang dijanjikan sejak lebih 10 tahun lalu masih belum menjadi kenyataan.
“Kami sudah lama tunggu. Dulu banyak kali diumumkan, tapi jambatan tak juga siap. Sekurang-kurangnya dengan adanya feri ini, beban kami penduduk akan berkurang,” katanya.
Lawatan itu turut disertai wakil Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah, Jabatan Kerja Raya Sabah, Jabatan Tanah dan Ukur Sabah, Pejabat Daerah Semporna serta beberapa agensi berkaitan.
Untuk rekod, jambatan Pulau Bum-Bum sepanjang kira-kira 1.4 kilometer dengan kos dianggarkan RM430 juta pernah dicadangkan sejak 2012 namun belum dapat dilaksanakan.
Pada 2022, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor memaklumkan perkhidmatan feri akan diperkenalkan terlebih dahulu bagi memenuhi keperluan penduduk sementara projek jambatan disiapkan.