
LAHAD DATU : Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menegaskan syarikat telekomunikasi (telco) perlu segera meningkatkan kualiti liputan internet di Sabah, khususnya di kawasan luar bandar serta lokasi strategik termasuk Pulau Sebatik.
Beliau berkata, semakan di Kampung Sepagaya pagi tadi mendapati menara komunikasi di kawasan itu berfungsi baik dan sudah dilengkapi rangkaian 5G. Selain itu, U Mobile juga akan menambah peralatan bagi memperluas capaian 5G di kawasan berkenaan.
“Saya difahamkan masalah utama di sini ialah gangguan bekalan elektrik yang kerap berlaku sehingga menjejaskan akses internet. Jadi, kita akan teliti cadangan pemasangan bateri tambahan supaya talian tidak terputus walaupun berlaku gangguan elektrik,” katanya pada sidang media selepas meninjau liputan komunikasi di Kampung Sepagaya, hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Seri Fauzi Isa dalam rangka lawatan kerja dua hari ke Lahad Datu dan Kalabakan.
Menurut Fahmi, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) turut mengenal pasti empat lokasi di sepanjang jalan utama dari Tawau ke Sepagaya yang menghadapi masalah capaian internet.
“Dasar kita jelas, di mana ada jalan, di situ mesti ada internet. Jadi arahan akan dikeluarkan kepada telco supaya menambah baik rangkaian di kawasan berkenaan,” katanya.
Beliau turut mengarahkan MCMC turun ke Pulau Sebatik hari ini bagi menyiasat aduan berhubung masalah internet, termasuk isu limpahan isyarat dari negara jiran.
“Ada cadangan pemasangan repeater sebagai langkah sementara, namun penyelesaian jangka panjang akan dibincangkan dalam mesyuarat bersama Indonesia di Kota Kinabalu dalam tempoh dua minggu lagi,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata pelaksanaan program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) menggunakan sistem pengesahan MyKad berjalan lancar sejak 31 Ogos lalu.
“Setakat ini, Kementerian Kewangan memaklumkan sistem stabil dan jumlah transaksi harian semakin meningkat. Ini membuktikan mekanisme MyKad adalah kaedah terbaik bagi mengelak ketirisan atau penyelewengan,” katanya.
Lawatan kerja Fahmi bersama pegawai kanan kementerian itu turut memberi peluang beliau menilai secara dekat aduan penduduk mengenai perkhidmatan internet di Sabah.