
KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian Datuk Ewon Benedick menyampaikan bantuan awal pengajian sejumlah RM 67,400 kepada 160 pelajar dari seluruh Kadamaian yang akan melanjutkan pengajian di peringkat sarjana muda dan diploma di pelbagai universiti dan kolej.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berharap sumbangan itu dapat meringankan bebanan kewangan ibu bapa dan pelajar berkenaan.
“Program bantuan awal pengajian tinggi ini saya perkenalkan sejak tahun 2023 dan dilaksanakan sehingga hari ini bagi pelajar-pelajar Kadamaian yang datang ke Pusat Khidmat ADUN Kadamaian
“Setiap pelajar yang melanjutkan pengajian sarjana muda, menerima bantuan sebanyak RM500, manakala bagi pengajian diploma menerima bantuan sebanyak RM300.
“Saya akan teruskan inisiatif ini selagi saya menjadi ADUN Kadamaian,” katanya selepas menyampaikan bantuan itu dalam majlis ringkas di perkarangan Pejabat Khidmat ADUN Kadmaaian, di sini, hari ini.
Ewon berharap penerima bantuan dapat menamatkan pengajian dengan cemerlang sekali gus membanggakan ibu bapa serta menyumbang kepada pembangunan Kadamaian, Sabah dan Malaysia secara keseluruhannya.
Antara penerima bantuan itu, Denver Alan Sauntin, pelajar Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Automotif di Universiti Kuala Lumpur – Malaysia France Institute, menzahirkan penghargaan kepada Datuk Ewon.
“Terima kasih kepada Datuk Ewon atas sumbangan ini yang sedikit sebanyak dapat membantu saya dari segi kewangan,” katanya.
Seorang lagi penerima, Nelly Lolla Abidin dari Kg Gaur yang mengikuti jurusan sama di institusi tersebut turut menyatakan penghargaan.
“Sumbangan ini sangat bermakna dan membantu saya untuk menguruskan keperluan pengajian. Terima kasih Datuk Ewon,” katanya.
Sementara itu, wakil ibu bapa, Jarme Timbangan dari Kg Tamu Darat, berkata bantuan awal pengajian untuk pelajar kawasan Kadamaian itu amat bermakna bagi keluarga pelajar.
“Bantuan ini bukan sahaja meringankan tanggungan ibu bapa, tetapi juga menunjukkan perhatian dan komitmen Datuk Ewon terhadap masa depan anak-anak kami. Saya berharap inisiatif ini diteruskan dan dirancakkan lagi pada masa akan datang,” katanya.