
PENAMPANG: Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick berpuas hati terhadap kemajuan projek penaiktarafan jambatan Sungai Moyog Stesen Pertanian Timpangoh–Babagon yang kini sedang rancak dilaksanakan.
Beliau berkata, projek tersebut mencatat pencapaian 37 peratus lebih cepat daripada jadual pelaksanaan.
“Pada Jun tahun lalu saya menyempurnakan upacara pecah tanah projek ini. Berdasarkan kemajuan semasa, saya yakin jambatan ini dapat digunakan penduduk pada hujung tahun ini.
“Projek ini merupakan antara permintaan rakyat Penampang khususnya di Mukim Babagon dan apabila siap sepenuhnya akan memberi manfaat besar kepada mereka,” katanya selepas meninjau kerja-kerja pembinaan jambatan berkenaan, di sini, hari ini.
Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi turut menzahirkan penghargaan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kontraktor pelaksana yang komited menyiapkan projek itu lebih awal daripada jadual asal.
Beliau berkata, projek jambatan konkrit sepanjang 90 meter dengan kos RM16.8 juta itu mula dibina pada Jun 2024 dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun.
Apabila siap kelak, ia bakal memberi manfaat kepada kira-kira 6,000 penduduk di kawasan Babagon, terutamanya petani yang ingin memasarkan hasil pertanian selain memudahkan urusan ulang-alik penduduk ke tempat kerja serta ke sekolah.
“Jambatan ini merupakan satu kemudahan yang sudah lama diimpi-impikan oleh ribuan penduduk Mukim Babagon sejak sekian lamanya. Sebelum ini hanya satu laluan keluar penduduk kampung iaitu Low level crossing di Babagon, tetapi ia sukar dilalui apabila hujan lebat atau banjir kerana air sungai deras,” katanya.
Ewon berkata, ini adalah antara inisiatif kerajaan MADANI yang memberi impak besar kepada masyarakat setempat.