TAWAU: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan keputusan Datuk Ewon Benedick untuk meletak jawatan sebagai menteri sebagai tindakan yang terlalu terburu-buru.
Anwar berkata Peguam Negara hanya merujuk perkara berkaitan keputusan mahkamah itu tiga hari lalu, manakala mesyuarat Jemaah Menteri yang dijadualkan esok sepatutnya menjadi medan untuk meneliti perkara berkenaan secara teratur.
Menurut Anwar, keghairahan kempen politik berbentuk sentimen telah mencetuskan tekanan yang tidak wajar sehingga mendorong tindakan tergesa gesa.
Dalam sidang media di Tawau, beliau berkata keputusan perlu dibuat selepas penelitian penuh terhadap penghakiman yang baru diterima dan selepas mendengar syor Peguam Negara.
Anwar ditemui media selepas merasmikan Jelajah Malaysia Digital Sabah di Pasar Taman Semarak pada Isnin. Dalam program itu beliau turut menyampaikan geran kandungan digital kepada penggiat industri kreatif serta mengumumkan bantuan untuk sektor tanaman, akuakultur dan ternakan.
