
LAHAD DATU : Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) berjaya mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) operasi lebih awal bagi tahun ini dengan merekodkan nilai rampasan berjumlah RM1.77 juta serta 140 tangkapan melibatkan pelbagai kesalahan sepanjang sembilan bulan pertama 2025.
Komander ESSCOM, Deputi Komisioner Polis Datuk Victor Sanjos berkata sehingga 26 September 2025 sebanyak 13 siri operasi telah dilaksanakan termasuk Operasi Bersepadu, Operasi Gasak Darat, Operasi Khas dan Operasi Gasak Laut sekali gus mencapai KPI tahunan yang ditetapkan agensi.
“Kejayaan mencapai KPI lebih awal tidak bermakna ESSCOM akan mengendurkan operasi di Zon Selamat Timur Sabah. Kami akan terus mempergiat operasi bagi memastikan keselamatan di pantai timur Sabah sentiasa terjamin,” katanya ketika berucap dalam Perbarisan ESSCOM Siri 2/2025 di Lahad Datu hari ini.
Antara kejayaan utama yang direkodkan termasuk Operasi Khas 1 pada 28 Januari di Lahad Datu yang membawa kepada penahanan tiga warga Filipina serta rampasan rokok, tembakau, tiga bot enjin sangkut dan sebuah kenderaan dengan nilai keseluruhan RM871,854.40.
Selain itu, dalam Operasi Khas di Kunak pada 10 Jun dua suspek warga Filipina dipercayai anggota kumpulan ASG Sulu Base ditahan di bawah Akta Imigresen. Sementara itu, Operasi Khas 3 yang dijalankan pada 12 hingga 13 Jun di Semporna berjaya menahan 56 individu dan merampas narkotik, barang kawalan, bot serta enjin bernilai RM63,987.50.
Dalam Operasi Tiris pada 16 hingga 17 Jun di Tawau tiga tangkapan dibuat dengan nilai rampasan RM333,440 manakala Operasi Bersepadu di Kalabakan pada 24 hingga 26 Julai mencatatkan 40 tangkapan dan rampasan bernilai RM22,000.
Bagi Operasi Gasak Laut Siri 1 yang dijalankan pada 11 Ogos di Semporna, 14 tangkapan dibuat di bawah Akta Imigresen dan sembilan disaman di bawah Akta JPDS. Dalam Operasi Sanggah pada 14 Ogos di Lahad Datu pula dua lelaki ditahan bersama 74 metrik tan minyak sawit mentah bernilai RM476,000.
Operasi lain termasuk Operasi Gasak Laut Siri 2 di Semporna pada 18 Ogos yang menahan 14 lelaki di bawah Akta Imigresen serta Operasi Bersepadu di Lahad Datu pada 18 September dengan enam tangkapan atas kesalahan yang sama.
Datuk Victor berkata pencapaian itu membuktikan semangat dan profesionalisme tinggi warga ESSCOM dalam memikul tanggungjawab menjaga keselamatan Sabah Timur.
Beliau turut menegaskan bahawa pengumpulan dan analisis maklumat perisikan mesti dipertingkat bagi memastikan setiap operasi memberi tumpuan kepada kawasan panas di seluruh Zon Selamat Timur Sabah.
Pada masa sama, beliau mahu program Gerak Saraf Perang Saraf (GSPS) yang dikendalikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif ESSCOM terus diperkasakan bagi memupuk semangat patriotisme dan nilai jati diri masyarakat di kawasan pantai timur Sabah.
“Masyarakat adalah radar bergerak ESSCOM. Nilai jati diri dan semangat patriotisme rakyat amat penting bagi membanteras sebarang ancaman yang mendatang,” katanya.
Turut hadir pada majlis itu Ketua Pegawai Eksekutif ESSCOM Datuk Dr Jamaluddin Mohd Ali dan Timbalan Komander merangkap Ketua Staf Bahagian Tadbir dan Logistik Brigadier Jeneral Mohamad Ismail Kamarudin.