KOTA KINABALU: Pertubuhan Amal Kembara Aspirasi Sabah (PAKAS) menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan budaya kempen yang tidak beretika menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN), khususnya melibatkan tindakan mengedit gambar tokoh-tokoh tertentu serta penyebaran fitnah bagi tujuan menjatuhkan lawan politik.
Pengerusi PAKAS, Kefayatullah Malik, berkata kecenderungan sebahagian pihak memanipulasi visual, menokok tambah cerita, dan menyebarkan tuduhan tanpa asas bukan sahaja mencemar proses demokrasi, malah menggambarkan kemerosotan nilai integriti dalam berpolitik.
“Mutakhir ini, kita melihat ada individu dan jentera yang sanggup mengedit gambar figura politik, menularkan fitnah, dan mencipta naratif palsu semata-mata untuk memburukkan pihak lain. Budaya seperti ini bukan sahaja tidak sihat, malah menunjukkan seolah-olah kematangan politik masih jauh tertinggal,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, amalan tersebut tidak seharusnya menjadi norma, sama ada di Sabah mahupun di mana-mana bahagian Malaysia. Politik yang matang, jelasnya, memerlukan wacana berasaskan fakta, hujah, dan tawaran dasar bukan serangan peribadi atau manipulasi emosi.
Kefayatullah turut menegaskan bahawa semua pihak perlu menjauhkan diri daripada menyentuh isu 3R (kaum, agama, dan institusi raja), yang hanya memperuncingkan ketegangan sosial serta membuka ruang kepada provokasi.
“Berkempenlah dengan penuh tanggungjawab. Elakkan keterlaluan, jaga adab, dan hormati perbezaan pandangan. Dalam apa jua keadaan, nilai-nilai murni mesti diutamakan kerana kita ini hidup dalam satu komuniti yang berkongsi tanah dan masa depan yang sama,” katanya.
Beliau juga mengingatkan jentera parti bahawa mereka memainkan peranan besar dalam membentuk persepsi masyarakat, dan oleh itu perlu menunjukkan contoh yang baik dalam cara berkempen.
“Jentera perlu bijak, berhemah, dan berfokus kepada kerja. Jangan menjadi penyumbang kepada perpecahan. Kematangan politik bermula dengan disiplin kempen,” ujarnya.
PAKAS menyeru masyarakat agar lebih berhati-hati dalam menerima maklumat yang tular, mengesahkan sumber sebelum berkongsi, serta menolak sebarang bentuk fitnah yang boleh menjejaskan keharmonian.
Menurut beliau, demokrasi hanya akan berfungsi dengan baik apabila rakyat diberikan maklumat yang benar, bersih, dan adil untuk dinilai.
