
NUNUKAN : Pihak berkuasa Indonesia menahan dua lelaki warga Malaysia selepas dipercayai cuba menyeludup keluar empat calon pekerja migran Indonesia (CPMI) secara haram melalui perairan Nunukan, Kalimantan Timur.
Dalam operasi pada 14 Julai lalu, pasukan Satuan Tugas Pengamanan Perbatasan (Satgas Pamtas) Yonarmed 11 Kostrad bersama Satuan Gabungan Intelijen (SGI) mengesan enam individu di Dermaga Sei Ular, terdiri daripada dua warga Malaysia berusia 30 dan 39 tahun serta empat CPMI.
Kepala Kantor Imigrasi Kelas II TPI Nunukan, Adrian Soetrisno dalam kenyataan rasmi hari ini berkata,pemeriksaan mendapati kedua-dua warga asing itu tidak mempunyai dokumen perjalanan dan visa sah, malah dipercayai mahu membawa CPMI terbabit ke Malaysia secara tidak rasmi.
Empat CPMI terbabit diserahkan kepada Badan Perlindungan Pekerja Migran Indonesia (BP3MI) untuk perlindungan lanjut, manakala dua suspek warga Malaysia ditahan pihak Imigrasi dan kini dititipkan di Lembaga Pemasyarakatan (Lapas) Kelas IIB Nunukan bagi tujuan siasatan.
Adrian menegaskan, pihaknya akan terus memperketat pengawasan di kawasan sempadan dan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan keimigrasian.