
LAHAD DATU : Polis menahan dua remaja lelaki berusia 14 tahun selepas dipercayai terbabit dalam insiden rusuhan di hadapan sebuah sekolah di sini pada 27 September lalu.
Dalam kejadian itu, seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun cedera di bahagian muka dan kepala selepas dipukul sekumpulan individu sebelum menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Lahad Datu.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Haji Ismail berkata, kedua-dua suspek yang juga pelajar ditahan pada 30 September lalu untuk membantu siasatan.
“Polis masih mengesan beberapa lagi suspek lain yang dipercayai terbabit dalam kes ini dan usaha mengesan mereka sedang dijalankan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.